Tidak ada yang mustahil

Sebagai manusia, kita memang selalu diuji. Kita diuji dengan ketidak-adaan apa yang kita mahu. Itu biasa berlaku, dimana, kita diuji dengan kekecewaan apabila gagal memperoleh apa yang kita mahu. Ustadz atau ulama, bila ditanya hal begini, mereka akan kata, tuhan lebih mengetahui atau mesti ada hikmah disebalik apa yang berlaku.

Dalam kes Aku, ujian Aku agak berbeza dan boleh Aku katakan, Aku diuji dua kali ganda daripada manusia biasa. Aku mula – mula diuji daripada kekecewaan tidak memperoleh apa yang Aku mahu, dan kemudian Aku diuji dengan dilema pilihan, yang mana satu Aku mahu.

Pada 23 Julai 2018, kedua-dua motor yang Aku dah letak booking fees, secara ajaibnya lulus. Dan ajaibnya lagi, kedua – dua berita loan approval ini Aku terima pada hari yang sama. Aku sertakan screenshot mesej agar cerita ini bukan cerita fiksyen. Satu dari Tim, satu lagi dari Major Ahmad. Kedua – dua mesej Aku terima pada petang hari dan beza antara dua mesej ini cuma 11 minit.

Daripada marah tak dapat motor, redha, akur ketentuan tuhan, sekarang tuhan bagi kedua-dua motor. Terus Aku teringat :

Quran 55:13 Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Barangkali, tuhan berkata begini kepada Aku. “Kau nak sangat motor… sekarang Aku bagi kau dua. Amacam?”

***

Cinta pertama Aku adalah Triumph Street Scrambler. Namun kerana macam tak dapat, Aku decide untuk cuba jatuh cinta kepada Ducati Monster 797. Kalau dapat Triumph Street Scrambler, dikira anak dara. Ducati Monster 797 pula, janda.

Bulan-bulan nak bayar anak dara ni almost RM1200. Manakala janda, murah sikit sebab consider 2nd hand, cuma almost RM500. Hantaran untuk Triumph, RM64k manakala Ducati, RM38K.

Yang mana satu Aku nak? Salah satu? Atau kedua-duanya sekali? Tidak pernah terfikir untuk Aku berpoligami motor walaupun pernah berfikir untuk poligami isteri. Sebulan nak kena keluarkan RM1700 tu. Kalau ada 2 motor lepas ni kalau tetiba nak poligami isteri, sakit perut juga tapi kalau ikut logik, kalau nak ada 2 motor pun bermasalah, apa kejadah nak poligami isteri?

Untuk menolak Triumph Aku rasa memang patut sebab tempoh nak approve loan memang lama gila. Untuk menolak Ducati Aku rasa tak patut, sebab atas kerja keras Tim, tak sampai 2 minggu loan approve. Tim siap mesej, “Sampai Jadi”. Melalui mesej Tim ini, baru Aku tahu lagu “Sampai Jadi” ini. Namun begitu, loan lambat approve bukan salah Triumph. Ini kisah kenapa loan lambat.

Triumph menghantar loan application kepada 2 tempat. Pertama Bank Muamalat dan kedua Aeon. Dalam kes Aku, Bank Muamalat tak lepas atas alasan paid up company Aku tak tinggi. Untuk menangkis hal ini, Aku hantar screenshot berapa keping bank statement Aku pada Major Ahmad bukan sebab riak tetapi sebab marah kenapa bank tak tengok balance akaun company. Namun pasti bank mempunyai alasan mereka tersendiri.

Semasa Aku ke Fast Bikes JB, barulah Aku tahu kenapa masalah loan nak approve ini menjadi masalah dunia sejagat. AEON, memang lembab macam gampang. Sebelum Aku cerita detail, biar Aku jelaskan dulu kedudukan permohonan application Aku. Aku booking sebelum zaman GST. Bila lambat nak approve, kerajaan bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan. GST dimansuhkan.

Bila GST dimansuhkan, berlumba – lumba orang beli motor malah kereta kerana rata-rata, harga motor dan kereta turun banyak. Dalam kes Triumph, harga asal RM64 K turun kepada RM60 K. Oleh kerana terlalu ramai orang mengambil peluang untuk beli motor dan kereta, application yang masuk kepada AEON banyak gila.

Apabila ini berlaku, AEON gagal untuk menangani kejadian application banyak secara tiba-tiba ini. Ada 5 kes untuk Triumph JB dimana 5 application yang masuk ke AEON, hilang tengah jalan. Maksudnya, salesman dah key in application dalam database, tapi data tak masuk dalam sistem AEON. Customer mengamuk call owner Triumph Fast Bikes dan Dato siasat kes ini kerana tidak mahu membabi buta menyalahkan staff dia yang sudah buat kerja. Bila siasat, memang betul bukan masalah Triumph, tapi masalah AEON.

Semasa Aku buat terjahan ke Fast Bikes untuk tanya status application Aku, ada 2 customer yang sama datang waktu itu, juga mahu kepastian apa yang sedang berlaku. Ini bermaksud, bukan Major Ahmad tak buat kerja, tapi memang AEON credit yang tidak menang tangan. Sebab itu Aku katakan tadi. Untuk menolak Triumph kerana loan lambat approve, agak tidak adil juga.

Menolak Triumph ibarat menolak cinta pandang pertama. Menolak Ducati, ibarat menolak cinta yang datang kepada kita dalam keadaan kita tidak menjangka. Setelah berfikir dalam-dalam, Aku memohon petunjuk kepada tuhan untuk menyelesaikan hal ini. Ini kerana, jika Aku fikir bersendirian, memang dua-dua Aku amik dan Aku beli!

Seperti dua gambar sekeping Triumph dan sekeping Ducati yang telah Aku letakkan dalam posting sebelum ini, keputusan membeli motor yang mana sememangnya telah kamu ketahui. Ini pula gambar keadaan garaj di rumah Aku setelah tiba – tiba menjadi rider.

Dunia ini sebenarnya, tidak ada yang mustahil. Bayangkan ada kisah seorang manusia, yang tidak pernah reti bawak motor seumur hidup, tiba-tiba diambang 40 tahun mengambil lesen B FULL terus, dan tiba-tiba sekaligus, membeli 2 biji motor kategori big bike.

Jika ada yang tidak percaya bahawa Allah maha pengasih, maha penyayang dan maha kaya, ini adalah buktinya. Tidak ada yang mustahil, dengan Allah.

***