Serius Black, teman pengganti

Sebelum ini ada Aku beritahu yang Aku menunggu Muluk : Si Triumph Scrambler 4 bulan lamanya. Kenapa sampai 4 bulan lamanya? Bukankah beli motor ini patutnya senang? Paling tidak 2 minggu motor mesti keluar. Tapi kenapa punya lama motor Aku nak sampai? Jika ada 7 misteri dunia, Aku rasakan ini adalah salah satu daripada 7 misteri dunia kehidupan Aku. Maka Aku ceritakan ia disini.

Pada 27 April 2018, akhirnya setelah Aku berlegar-legar berbulan lamanya mencari motor yang Aku rasakan serasi dengan Aku, Aku akhirnya membuat keputusan untuk memilih Triumph Street Scrambler. Setelah membayar booking fee sebanyak RM1500 sehari selepas Aku datang lagi ke Fast Bikes buat kali yang  terakhir, Aku kemudiannya mula menyediakan dokumen untuk dihantar kepada bank sebagai memohon pinjaman loan.

Melalui Major Ahmad, salesman berambut panjang putih di Fast Bikes itu, segala proses permohonan seakan nampaknya sangat mudah sekali. Aku fikir, Major Ahmad mestilah otai kerana usianya yang agak senior. Pengalaman mesti power. Bila power, mestilah senang untuk berurusan jual beli.

Namun hal di dunia ini tidak semudah yang kita lihat dengan indera mata yang dikurniakan tuhan. Rupanya sesetengah hal dunia, harus juga dilihat dengan indera mata batin yang lebih dalam lagi. Daripada 27 April 2018 zaman GST, Aku hanya dapat merasai Muluk seawal 6 Ogos 2018 selepas zaman GST. Berapa jarak hari antara dua tarikh ini? 101 hari secara tepat atau 3 bulan 10 hari.

Sementara menunggu loan approve, pertanyaan untuk status update Aku kepada Major Ahmad berubah daripada tanya kosong saja – saja hingga kepada tanya + alasan keperluan semata-mata untuk mempressure Major Ahmad agar buat kerja dengan cepat.

Bermacam alasan Aku bagitau Major Ahmad yang Aku perlukan motor itu cepat. Antaranya alasan  terpaksa ponteng terawih sebab tak ada motor untuk ke masjid. ( Masa tu bulan puasa ). Lain, Triumph kena bagi Aku helmet free sebab nak cover lama waiting time. Alasan paling win, Aku hantar screenshot mesej kawan Aku kepada Aku pasal kalau nak bonceng motor, tak payah ada lesen B Full. Ketawa Major Ahmad bila baca hal ini.

Bukan setakat mesej whatsApp, Aku malah berulang ke Fast Bikes membuat terjahan untuk mendapatkan kepastian, kenapa lama sangat loan nak approve. Malah, bukan setakat ke Fast Bikes PJ, Aku juga turun ke Fast Bikes JB untuk mendapatkan gambaran sebenar kalau-kalau Major Ahmad buat cerita karut.  Fast Bikes Penang sahaja yang Aku tak pergi.

Oleh kerana terlalu lama tunggu dimana, status loan Aku tidak tahu sama ada kena tolak atau terima ( gantung tak bertali ), Aku kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari motor lain. Lagipun, tempoh expiry plate nombor yang Aku beli itu hampir tamat. Rupanya plate nombor status hidup dia cuma 3 bulan. Lepas 3 bulan kena tambah RM10 rasanya untuk maintain dia terus hidup. Agak membazir nak tambah walaupun RM10 sebab plate itu sahaja Aku beli RM700 dari runner kereta Audi Aku tahun lepas. Kalau lajak 10 bulan dah lagi seratus. Paling cop duit bapak Aku.

Maka Aku ke Ducati PJ untuk mencari motor pilihan kedua. Nyaris Aku sudah membuat kajian pada masa yang sama maka untuk Aku decide motor yang mana, tidaklah lama mana.

Ini video motor pilihan Aku. Ducati 797. Jujur Aku katakan, kalau nak dibanding dengan falsafah yang Triumph bawa, Aku rasa Ducati 797 ini memang untuk si muda remaja. Dunia ini hanya untuk kesukaan semata. Adoi….  tapi apakan daya, banyak-banyak motor Ducati, Aku rasa yang Aku minat setakat ini cuma Monster. Ini semua pengaruh terlayan Inspektor Daniel punya drama. Lagipun sebab dalam video ni mamat yang bawak Ducati tu dikejar 2 awek, Aku rasa oklah…. boleh acceptlah…. 3some tu…. 😀

Namun tuah sekali lagi bukan di sebelah Aku. Bila Aku nak beli Ducati, salesman Ducati Mr. Timoti atau Tim ( salesman paling cargas dalam dunia yang pernah Aku jumpa ) bagi Aku kecewa kategori motor buat kali yang kedua. Ketika itu, Ducati tidak ada sebarang stok motor daripada 797, 821, panigale dan ntah apa setan lagi ( Xdiavel )semua habis dijual. Stok baru akan sampai lepas bulan 9.

Aku rasa macam alam seakan tidak memberikan lesen penuh kepada Aku untuk mempunyai motor walaupun awalnya alam memberi Aku lesen B Full! Kata Abdul Wahub, ini tidak ADIL!!! Kalau dah tanak bagi Aku bawa motor, jangan bagi Aku lesen. Biar Aku failed ujian JPJ seratus kali pun tak apa asalkan jangan bagi Aku harapan!

Menjadi manusia, memang kita kadangkala marah dengan takdir tetapi apabila kita memulangkan segalanya kembali kepada tuhan, redha sepenuhnya secara total, tuah manusia mungkin berubah.

Beberapa hari selepas kecewa di Ducati, salesman Tim telefon Aku bagitahu yang semua motor demo hendak dijual. Motor demo ini maksudnya motor test ride kedai. Milage tak sampai 10K. Ada 4 biji Ducati Monster 797, 2 merah dan 2 hitam dijual dengan harga gila tak masuk akal, RM38 K. Ini tidak termasuk motor lain seperti Multistrada, Panigale, Scrambler Sixty2, Xdiavel dan Hypermortard dengan harga masing-masing. Untuk rekod, kalau Monster 797 yang baru, tak silap Aku harganya sekita RM50K + +.

Aku tanpa membuang masa terus ke Ducati bersama Staze untuk test ride dan seterusnya membuat bayaran booking sebanyak RM500, lalu menyediakan semua dokumen untuk loan application. Tim memberi jaminan, dalam masa 2 minggu, insya allah dapat jawapan.

Terfikir juga Aku, buatnya dah booking yang ini sekali Triumph pulak dapat, macam mana? Ahh… kadang-kadang kesilapan Aku terlalu memikirkan hal yang jauh dan belum pasti sampai melupakan hal yang ada didepan mata.

Sebagai usaha Aku yang terakhir, Aku mesej Major Ahmad beritahu yang Aku sudah buat booking dengan Ducati. Aku katakan meminta maaf kepadanya kerana tak sanggup untuk menunggu lagi kerana sudah terlalu lama. Mana-mana yang offer dulu, Aku akan ambil. Major hanya mengreply, “Takpe Tuan, yang terbaik untuk u”.

Ini adalah gambar Ducati Monster 797 hari Aku collect. Aku namakan ia, Serius Black, sempena semua kisah-kisah kekecewaan dan kisah keDUKAaan dalam hidup Aku. Belon 3 ketul tu Aku cakap pada Tim, “agak-agaklah Tim…. kau ingat Aku boleh gembira sangat ke dengan belon ini?” Tim kata, itu belon birthday anak dia.

Welcome to Ducati Family. Inilah Serius Black, teman pengganti.

***