Ride #10 – Maha Merperdaya

Hari ini hari Ahad. 28 Oktober 2018. Hari ini Aku ride dengan Staze. Semalam pun ride dengan Staze cuma semalam teman Staze pergi tukar tayar Serius Black. Hari ini ride Kuala Pilah itik panggang.

Semalam balik rumah lencun sebab hujan lebat. Hari ini pun balik rumah lencun sebab hujan lebat. Satu hal yang Aku baru belajar bila hujan adalah, jangan follow sebelah kereta sebab kalau dia belah air yang bertakung, alamat mandi air teh ais atau selang seli limau ais.

***

Seperti biasa, checkpoint perjumpaan kami adalah pukul 8:00 pagi. Jam 7:55 Aku sudah sampai RnR Dengkil. Baru Aku beli nasi goreng dengan telur untuk breakfast, Staze sampai. Oh… kali ini Aku bawak duit syiling satu genggam. Masa nak bayar, Aku cuma tadah tangan dan pakcik kaunter mengira dengan senyuman.

Setelah makan, kami bergerak ke Kuala Pilah. Matlamat hari ini adalah untuk beli itik panggang. Walaupun Aku tak pernah makan itik, Aku rasa macam nak cuba. Kata Staze, liat dia macam ayam kampung cuma rasa dia lain sikit sahaja. Sedap kata Staze lagi.

Daripada RnR Dengkil, kami ikut highway belakang. Suasana jalan ada menarik juga. Ada satu spot pokok kiri dan kanan seakan melambai perjalanan kami.

Ada satu kali dimana masa Aku ride, Aku nampak jalan di depan Aku sekelip mata menjadi gelap seakan dibayang sesuatu. Jalan tar yang cerah kerana cuaca panas, tiba-tiba menjadi mendung 2-3 saat dan kemudian cerah kembali. Aku toleh ke atas kalau-kalau ada UFO baru lalu tetapi nyata langit terbentang luas bewarna biru muda. Aku teringat kisah Muhammad yang berjalan dipayungi awan. Bezanya Aku tak sempat dipayung! Nampak sangat banyak dosa disitu.

Pengembaraan dengan Staze bersifat santai. Tidak perlahan sangat dan tidaklah laju mana. Staze dulu sebelum Aku mula ride, selalu bagitahu bahawa menunggang adalah “Me time” dia dimana dia dan dirinya semata-mata. Kalau boleh Aku ubah sikit ayat ini, ia akan berbunyi, “Aku dan diriku” sendiri, menyendiri.

Aku faham apa yang Staze kata. Perasaan ini, atau moment ini, semacam “layan jiwa”. Ia juga adalah terapi mental yang susah Aku nak explain melainkan kalau cuba sendiri. Dulu Aku selalu rasa benda ini masa Aku berlari. Kalau ikut ulama running, benda ini dipanggil “The Running High”. Mungkin, kerana ride, ulama ride akan berkata, “The Riding High”.

Maka ride pagi ini, adalah episod Aku dan diriku. Otak macam diam tidak fikir apa-apa, tapi otak sentiasa dalam awareness : AKU. Sound effect angin berlaga dengan helmet, menambahkan lagi dramatik feeling ini. Bolehkah Aku kata ia semacam sama waktu meditation? Hampir la. Meditation terus hilang tetapi ride kalau hilang alamatnya masuk longkang.

Apabila Aku melayan Aku, dunia ini semacam dibuka satu filter. Kalau kita dalam rutin seharian, susah kita nak dapat buka filter ini sebab interaction kita adalah dengan sesama manusia. Kejap sahaja kita akan lupa dan keluar dari awareness ini. Sebaliknya, bila ride motor, consistency awareness Aku dengan Aku ini maintain lama. Selagi mana kita tidak lupa, selagi itu “khayalan” ini bermain di dalam minda dan jiwa.

Apa yang berlaku apabila filter ini dibuka? Dunia terlihat keindahannya pada kadar yang lebih dalam. Tengok pokok pun boleh buat kita senyum. Tengok motor mencelah dari belakang kita potong style kurang hajar pun kita boleh rilek dan ingat, ahhhh…. Dia juga.

Berbeza dengan meditation, kalau pro, boleh meditate straight lebih dari satu jam. Aku sekarang level agak sayur. Satu session paling lama 10 minit. Kalau Aku buat 21 minit, mesti fikiran berkerawang entah mana. Bila buat 10 minit, pendek, dan fokus lebih tajam.

Ride pula memakan masa yang panjang. Mungkin lebih satu jam sekali ride. Tapi sebab fikiran bukan total lost dalam kedalaman, mata masih terbuka dan sambil itu minda auto-processing data untuk ride, jadi graph minda barangkali naik turun naik turun. Cumanya, secara overview, naik dan turun ini masih dalam treshold kesedaran sendirian.

Boleh Aku katakan, meditation seperti minum pati buah manakala ride, minum air buah yang dibancuh dengan air.

Namun sama ada meditation atau ride, bagi Aku keduanya bermatlamatkan satu. Kosong. Kosong ini bukan kosong kerana tidak ada, tetapi kosong kerana ADA. Mungkin ada perkataan lain yang lebih tepat Aku rasa. Ya. Larut.

Aku bawakan lagu untuk explain lagi hal ini.

Daripada highway KLIA belakang itu akhirnya kami keluar ke highway Seremban. Bila nampak exit Senawang, kami keluar ke kiri. Jalan di Senawang nak menyampai ke Kuala Pilah, dia punya traffic light agak lumayan.

Bila cerita traffic light lumayan ini maksudnya banyak kali berhenti. Dan bila berhenti, menunggang motor ini kita ada peluang untuk mencelah ke depan sekali.

Selama Aku ride, menunggang mencelah sampai ke depan tak berapa nak seronok macam hari ini. Bukan apa, motor tak banyak sangat menunggu traffic light ini. Tapi dalam 5-6 biji, yang belah kiri sekali depan Aku ada 2 orang awek naik kapchai.

Memula Aku nampak Staze main follow sebelah dia. Yelah. Sebab biasa kalau ride memang Aku follow duduk kat belakang. Tapi ntah macam mana, nak dijadikan rezeki Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, traffic light ketiga Aku pulak duduk sebelah awek-awek ini.

Masa awek ni duduk depan Aku, daripada side mirror dia Aku nampak dia usha belakang. Tak sure dia tengok sapa tapi emmm… P.Ramlee kata boleh tahan. Aku rasa daripada outfit yang awek ini pakai, mungkin dia seorang nurse. Tapi kawan dia yang bonceng tak pulak pakai baju nurse. Mungkin nurse ini bawak pesakit. Siapa tahu?

Tapi itu semua tak penting. Yang penting dalam beberapa traffic light Aku duduk sebelah dia. Bukanlah Aku nak cerita Aku happy gila tidak. Aku dah kahwin kut. Kita ada anak bini kat rumah so kalau senyum kat anak dara tu sikit-sikit je jangan lebih.

Lepas beberapa traffic light, Aku pulak duduk kat depan dan daripada side mirror Aku, Aku boleh nampak jelas awek nurse ini kat belakang.

Bila kita bawak motor besar ini betullah banyak ujian dia. Sama ada awek ini usha motor Aku dan motor Staze, Aku lebih mendoakan yang dia usha orang yang bawak motor itu. Bila dia perasan yang kita usha dia, dia mula senyum-senyum malu. Ini yang mahal bagi anak dara. Ingat tu.

Traffic light terakhir, Aku dengar awek nurse ini ucap selamat jalan dalam hati dia. Paling tidak, itu yang Aku bayangkan dalam hati. Dan kami pun berlalu pergi.

Kami kemudian buat satu pusingan U untuk masuk ke jalan sebelah sana menuju Kuala Pilah. Masa nak corner U besar ini jalan dia agak tak berapa nak elok. Lubang dan berpasir, Aku agak terbabas nak buat pusingan sebab Aku memang tak mahir lagi menunggang. Masuk kali ini baru 10 kali menunggang jarak jauh lebih 100 KM seumur hidup.

Hati Aku semacam gelisah tiba-tiba. Tayar bergoyang lain macam. Waktu itu Staze sudah jauh didepan sana. Dan Aku masih terhegeh-hegeh membetulkan corner kerana memang tengah terbabas.

Bila dah turun bukit, baru Aku memecut mengejar Staze dan baru hati Aku tenang kembali. Ini mesti ada sebab ride agak terganggu hari ini.

Jalan kemudian masuk menuju Kuala Pilah. Di belah kiri Aku ada nampak sign board Ulu Bendul. Di tepi jalan mula kelihatan banyak gerai-gerai menjual itik salai tergantung dipanaskan oleh api yang mengeluarkan asap yang banyak, selain daripada ada sawah padi dan rumah-rumah kampung yang aman.

Tidak lama selepas itu, Staze bagi signal dan kami berhenti minum. Aku parking dan bila nak buka helmet, Aku dapati skru visor Aku hilang sebelah entah kemana. Aku ingat jatuh masa Aku parking. Puas Aku dan Staze cari tapi tak jumpa sampai sudah.

Waktu minum kami berbual panjang. Bila dengan Staze, topik lain tidak ada melainkan topik – topik hakikat. Tapi kerana hari ini ada tuhan belanja awek nurse naik motor, jujur Aku katakan sebagai seorang lelaki negaraku, kami ada berbual pasal awek ini.

Berbual punya berbual tiba-tiba Aku mendapat ilham. Baru Aku faham, apa yang berlaku hari ini. Ahhh…. rupanya hari ini adalah cerita : Maha Memperdaya.

Daripada pagi tadi dah duduk dalam awareness AKU yang konon deep, tiba-tiba tuhan hantar awek dua orang, terus sayur. Aku katakan kepada Staze, betapa, Maha Memperdaya game kita hari ini. Biasa kalau manusia, ada manusia lain ingat kat dia, manusia tu dah happy dah. Seronok sebab ada orang ingat pada dia. Dia tak fikir lain dah. Tapi kalau tuhan lain. Kita dah ingat kat dia ni. Dalam pada kita tengah ingat kat dia, dia uji pulak kita, nak tengok, betul ke kau ingat kat AKU ni, baru AKU hantar awek sikit korang dah sayur.

Kami kemudian ketawa besar mengingatkan kesilapan kami ini. Konon poyo layan jiwa deep, awek lalu depan mata terus lupa. Maka betullah dalam quran telah berkata, perempuan itu adalah ujian bagi lelaki. Baru diuji sedikit sudah lupa. Belum lagi diuji awek nurse duduk membonceng belakang kita. Eh- eh.

Lama kami berbual, tiba masa untuk balik dorm masing-masing. Sebelum balik, kami singgah gerai. Staze bungkus itik panggang manakala Aku bungkus daging salai. Keberanian Aku untuk mencuba itik salai Aku tunda lain kali sebab sebelum gerak, Aku call bini Aku tanya, dia nak makan itik tak? Dia ketawa.

Perjalanan pulang lebih panjang dari perjalanan datang. Staze ajak ikut highway LEKAS. Perjalanan pulang lebih laju dari perlajanan datang tadi. Mungkin masing-masing perut dah lapar dan membayangi hidangan itik panggang / daging salai masakan bini masing-masing.

Dalam kelajuan mencecah 140 km/j secara purata dan kadangkala sampai 160km/j secara tiba-tiba, Aku tersenyum didalam helmet yang skru visornya hilang sebelah.

Jalan cerah yang menjadi mendung 2-3 saat sekelip mata pagi tadi rupanya adalah petanda bahawa, awareness Aku dengan AKU tiba-tiba blackout sekejap, dek kerana seorang awek nurse.

Terima kasih awek nurse kerana kehadiran kamu, mengajar Abang Triumph Scrambler, erti sifat : Maha Memperdaya. Memperdaya, bukan untuk menyesatkan tetapi kerana ia juga bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, memperdaya agar lebih kuat kesedaran dalaman itu.

***

Quran 3:14 Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Adorned for the people is the love of desires, such as women, and children, and piles upon piles of gold and silver, and branded horses, and livestock, and fields. These are the conveniences of the worldly life, but with God lies the finest resort.

Quran 34:21 Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu.

He had no authority over them; except that We willed to distinguish him who believes in the Hereafter, from him who is doubtful about it. Your Lord is Guardian over all things.

Info Ride


Google Map

  • Kinrara residence – RNR Dengkil
  • RNR Dengkil – Kedai tepi jalan Terachi, Kuala Pilah
  • Kedai tepi jalan Terachi, Kuala Pilah – Riders Garage
  • Riders Garage – Kinrara Residence