Manusia, berubah

Aku sebenarnya memang bukan suka minum kopi sangat pun. Ini mungkin, sebab dari kecil, minuman kebangsaan yang masuk lalu ke tekak ini adalah air teh. Ini mungkin juga adalah kerana Aku, dibesarkan di sebuah daerah di dalam negeri Pahang, yang paling banyak mempunyai ladang teh. Lalu, teh menjadi sebahagian daripada hidup Aku. Seingat Aku, scene yang tidak pernah akan terpadam daripada memori ini adalah, melihat asap teh naik ke udara, sambil di tangan adalah biskut-biskut lemak empat segi. Dan cuaca di luar yang sangat sejuk, menjelaskan lagi penglihatan dan pengamatan Aku, terhadap asap yang terbang menghilang ini.

Namun apabila Aku meningkat remaja, apabila Aku menghabiskan 5 tahun dari hidup Aku di sebuah lagi daerah di dalam negeri Pahang ( kali ini daerah ini tidak mempunyai ladang teh langsung, tetapi mempunyai banyak istana ), Aku diperkenalkan dengan air teh yang telah di resapi dengan susu. Lalu baru Aku tahu bahawa asimilasi dua bahan ini, dinamakan teh yang sebenar, sebaliknya, teh yang biasa Aku minum dulu, adalah teh kosong atau lebih dikenali sebagai teh o. Berbeza antara teh dan teh o, teh biasanya lebih manis lagi. Apabila bertemu dengan teh yang lebih manis ini hampir setiap hari, teh o Aku rasakan kosong dan patutlah namanya, teh o. 

Masa berlalu. Pejam celik pejam celik, Aku bukan lagi seorang remaja. Hari ini, Aku telah menjadi seorang yang tua. Jarang sudah Aku minum teh mahupun teh o, kerana akhir-akhir ini, Aku sering minum kopi.

Walaupun Aku katakan yang Aku telah menjadi seorang yang tua, jangan bayangkan kopi yang Aku minum itu warnanya hitam pekat. Di ambang tahun wawasan 2020 ini yang bakal ada kereta terbang, kopi yang Aku minum lebih fusion. Maksud Aku, kopi yang Aku minum bukan setakat diasimilasikan dengan susu sahaja, malah ada hari ia diasimilasikan dengan krim. Kadangkala ada dengan serpihan-serpihan kacang yang diimport dari luar negara. Ada hari lain dengan campuran bebiji kecil hitam lembut yang jika digigit ia pecah serta merta. Dan macam-macam lagi yang kadang – kadang Aku tidak tahu apakah nama kopi yang Aku minum itu.

Ya. Menjadi seorang peminum kopi yang berasal dari teh, Aku awalnya memang kekok untuk memesan kopi yang mana satu bila Aku sampai ke kedai kopi ini. Sudahlah begitu, dulu, nak sebut pun Aku tak reti. Sehingga satu hari kawan Aku Jon Zulazri mengajar Aku bagaimana untuk mengenal kopi-kopi ini. Dan baru Aku tahu, di kedai kopi ini, ada juga air teh dan air chocolate turut serta dijual untuk peminum-peminum tegar. Jangan salah faham dan ingat Aku seorang yang bodoh langsung tidak tahu perihal air untuk diminum. Aku sebenarnya seorang yang pemalas yang pandai. Kebiasaan Aku apabila di kedai makan atau kedai minum, isteri Aku yang uruskan segala. Lantaran itu, ilmu makanan dan minuman Aku tidak tinggi mana. Ini, Aku akui dengan jujur dan tidak curang.

Tetapi, mengambil tajuk tulisan ini, seorang manusia, berubah melalui masa. Telah Aku tuliskan tadi perubahan yang berlaku pada diri Aku daripada seorang peminum teh menjadi seorang peminum kopi. Dan ini adalah fasa seterusnya dalam menyampaikan erti tersurat dan tersirat dari tulisan ini.

Walaupun Jon Zulazri yang mengajar Aku tentang kopi, namun itu tidak bermakna Aku sebagai murid peng-kopi-annya tidak boleh menjadi lebih hebat daripadanya. Banyak contoh sejarah anak murid menjadi lebih hebat dari masternya. Lihat sahaja pada Anakin Skywalker yang menjadi Darth Vader. Dia lebih hebat dari Master Obi Wan Kenobi. Itu di layar perak. Kalau di layar sufi, boleh cari tentang Sheikh Abdul Qadir Gilani. Satu waktu dia berguru dengan Masternya dan satu waktu lagi, Masternya berguru dengannya.

Satu hari ketika kami balik dari meeting dengan client, kami singgah kedai kopi ini. Oleh kerana hari itu Aku ada sedikit ceria dan gembira, Aku belanja Jon Zulazri selain daripada tanda terima kasih atas budi kepadanya yang berkongsi ilmu kepada Aku. Ingat. Kita orang melayu dan orang melayu telah lama hidup dengan pepatah “Orang berbudi kita berbahasa”.

Ketika habis memesan dengan lagak mat salleh yakin menang kalah tidak mengapa, Aku kemudian mengeluarkan sekeping kad lalu membuat bayaran. Bila Jon Zulazri melihat kad yang Aku guna untuk membayar ini, spontan ia berkata, “Fak…. Ini sudah lebih!!! Kau memang dah berubah sial….”

Hakikatnya, Jon Zulazri sangat terkejut dengan keupayaan dan kemajuan Aku mempunyai sebuah kad keahlian kedai kopi. Ini kerana, sebagai seorang peminum kopi tegar, tidak tersampai akalnya untuk mempunyai sebuah kad keahlian kedai kopi yang mengumpul mata ganjaran tersebut. Mempunyai kad keahlian kedai kopi ini juga, memancarkan lambang status arena kopi yang lebih elit. Itu yang Jon Zulazri tak boleh blah. Ya, kami hari ini (terima kasih tuhan) masing-masing memandu kereta kelas D (D-Segment), tetapi memandu kereta kelas D dan mempunyai kad keahlian kedai kopi, adalah level lain yang Jon Zulazri tidak akan terfikir. Ini sama juga dengan perbincangan sembang kencang kami jika kami hit jackpot kaya raya financial freedom, Jon Zulazri sekadar mahukan seorang bodyguard manakala Aku mahukan seorang nurse peribadi. Nampak tak perbezaan dia macam mana? Siapa yang lagi futurist?

Ya. Manusia berubah. Daripada seorang peminum teh kepada peminum kopi, lalu kepada pemegang kad keahlian kedai kopi, ada satu lagi hal yang berlaku baru-baru ini yang buat Jon Zulazri lagi mental. Semalam di ofis, Aku persembahkan kepadanya, bagaikan sakti sebuah sebiji tumbler hitam matt saiz besar muncul keluar dari beg galas Aku terus naik ke atas meja. Dan yang membuatkan Jon Zulazri, seorang guru kopi yang pernah mendidik Aku lebih tergamam kelu lidah berbicara adalah, apabila melihat lambang kedai kopi tersebut pada tumbler di tangan Aku ini. Oleh kerana persahabatan Aku dan Jon Zulazri telah lebih daripada 27 tahun, Aku boleh dengar bisik hatinya secara telepati. “Fak…. Ini betul-betul sudah lebih!!! Kau memang betul-betul dah berubah sial….”

Manusia berubah. Bukan sekadar melalui masa, tetapi melalui pengalaman, melalui pembacaan, melalui pengamatan, melalui rasa, dan melalui resa. Ya, manusia berubah. Namun perubahan boleh jadi menjurus kepada yang lebih baik, atau boleh jadi juga menjurus kepada yang tidak baik. Itu Aku rasa, adalah kerana kompas hati masing-masing berbeza.

Yang masih menjadi misteri bagi Aku cuma satu. Manusia yang berubah dalam sekelip mata. Contohnya begini. Semalam, dia kata dia suka minum teh. Tiba-tiba hari ini, dia kata dia suka minum kopi. Yang ini memang Aku tidak faham. Walaupun Aku sudah menjadi tua, barangkali ada hal di dalam dunia yang masih lagi Aku perlu berguru. Barangkali guru seperti Sheikh Abdul Qadir Gilani mampu merungkai misteri alam sebegini.

Perubahan manusia yang mendadak dangdut, ia seperti melihat harga Bitcoin dengan rasa yang berdebar-debar. Mula-mula harganya USD13 K. Bila bangun tidur, tiba-tiba tengok harga, jadi USD10K. Hal sebegini kalau dalam bidang cryptocurrency kita panggil “volatility”. Barangkali “volatility” wujud bukan sekadar di dalam carta analisis. 

Semoga kita semua dijauhkan dari “volatility” yang boleh memusnahkan kita dalam hidup ini. Perubahannya mungkin singkat tak sampai satu hari tapi kesannya boleh jadi makan tahun berketurunan. Bayangkan kalau terbeli 1 BTC harga USD13K hari ini sekali esok 1 BTC turun menjunam 90% dari harga asal?

Tapi dalam cryptocurrency kita memang suka dan telah menjangkakan hal “volatility” ini. Yang kita tidak mahu adalah instead of ia “volatility”, ia menjadi “static”. Tidak berubah walau sejengkal pun. Ini lagi parah sebenarnya. Dari dulu hingga sekarang sama sahaja. Masih begitu.