Kabus dan Kujes

Di jalan menuju sengenting kera ini, lebih tepat lagi, di awanano berhampiran dengan kedai kopi yang bewarna hijau itu Aku telah menemui dua sahabat baru. Seorang, namanya Sang Kabus, dan seorang lagi, Sang Kujes.

Aku ceritakan dulu perihal akan Sang Kabus ini. Kedatangan sahabat ini adalah sifatnya menjelma daripada tidak ada kepada ada. Warnanya putih penuh, dan kalau kamu mahu tanya ketebalannya, boleh Aku katakan ia berubah-rubah mengikut masa.

Oleh kerana sifatnya yang putih penuh itu, sahabat ini membuatkan pandangan Aku tidak jelas dan tidak nampak yang disebalik. Uniknya Sang Kabus, dari jauh ia kelihatan namun bila Aku cuba menyapanya dengan dekat, ia menghilang.

Dan ketika ia menghilang inilah Aku bertemu dengan seorang lagi sahabat yang bernama Sang Kujes.

Sang Kujes, berbanding Sang Kabus, adalah sahabat yang pemalu. Tidak semua orang dapat melihat wajah si pemalu Sang Kujes ini. Hanya yang mempunyai makrifat tinggi boleh merasakan kehadiran Sang Kujes ini. Petandanya mudah, apabila kamu rasakan bahawa tiba-tiba kedinginan yang amat sangat, maka ketika itulah hadirnya Sang Kujes. Kadang-kadang, bulu roma kamu akan berdiri. Dan kadang-kadang, bagi yang hatinya tidak kuat, jantung kamu boleh terhenti sesaat menjelang kehadiran Sang Kujes ini ( kamu terbersin ).

Maka kerana Aku berada di pertengahan antara Sang Kabus dan Sang Kujes, Aku beroleh upaya untuk bertanyakan kepada mereka berdua begini : Apakah tujuan kamu menjelma hari ini datang berjumpa dengan Aku.

Seraya itu, suasana sekelililng Aku mula menebal dan putih memenuhi dan Aku, tenggelam dalam warna suci ini. Sang Kabus berbisik perlahan kepada Aku begini.

“Aku datang untuk memberitahu kamu manusia, bahawa, Aku akan menutup matamu dari melihat kebenaran yang sebenar-benar wujud. Akan aku warnakan pandangan kamu dengan tona putih tak berpenghujung, lalu dalam kepalsuan itu kamu akan lebih fokus kepadaku, daripada fokus kamu kepada kebenaran itu.”

Lalu tahulah Aku bahawa Sang Kabus ini, sifatnya memperdaya mata. Hadirnya Sang Kabus, menyebabkan jalan hidup Aku, tidak kelihatan hujungnya, tidak kelihatan keadaannya dan tidak kelihatan belakangnya. Akan itu, Aku fikirkan jika Aku tidak mengenal dan tidak sedar siapa sebenarnya Sang Kabus ini, boleh jadi arah kiblatku berubah, tersasar dari yang sepatutnya.

Aku kemudian bertanya pula kepada Sang Kujes begini : Maka kamu pula, apakah tujuan kamu mengelilingi Aku dari hujung kaki ke hujung rambut hari ini? Sang Kujes, seperti tiba-tiba, meningkatkan tekanannya menjadi kuat, menghimpit kepada kulit – kulit Aku hingga tergigil Aku sejuk, lalu berkata begini.

“Aku datang untuk memberitahu kamu manusia, bahawa, Aku akan menutup rasamu dari merasakan kebenaran yang sebenar-benar wujud. Akan aku tiupkan hembusan salju kepada diri kamu tak terhenti, lalu, dalam perasaan dingin itu hati kamu menolak kepada kebenaran yang sebenar-benar timbul, lalu dalam kepalsuan itu kamu akan lebih fokus kepada menghangatkan diri kamu, daripada merasakan kehangatan kebenaran itu”.

Lalu tahulah Aku lagi bahawa, Sang Kujes juga, sifatnya adalah memperdaya, tetapi hebat Sang Kujes adalah pada hal rasa. Sama seperti Sang Kabus tadi, Sang Kujes hadir untuk mengalih hati ini daripada arah kiblat hidupku menuju jalan yang lurus.

Aku diam seketika. Sang Kabus Aku lihat, terawang-awang di hadapanku, mungkin didodoi oleh Sang Kujes yang ada disekelilingku. Bagaimanakan caranya Aku rasa untuk menolak kedua sahabat ini dengan baik, agar, dapat Aku sambung pengembaran siri jalan lurus Aku ini?

Hati Aku kemudian memberi jawapan begini :

Sama ada Sang Kabus, atau Sang Kujes, keduanya kamu tidak akan dapat menolak kedatangannya sampai bila-bila. Sebaliknya, hanya dengan kesedaran, kamu dapat melalui, menembusi keduanya untuk kekal berada di dalam hadratku.

Suasana seakan terhenti. Semuanya diam dan tidak bergerak. Aku menarik nafas perlahan dan dalam, sambil menutup mata. Perlahan-lahan, Aku rasakan Sang Kujes terbang menjauhi Aku. Dan apabila Aku buka mata, Sang Kabus juga telah tidak ada.

Jalan di depan Aku sekarang jelas kelihatan, dan NYATA.

 

View this post on Instagram

 

Tajuk karangan hari ini adalah “Kabus dan Kujes”. #gerakanolos #siribunyamindanrodakehidupan

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on