Dua Daya

Satu senja baru-baru ini, Aku tinggal berdua dengan Jon Zulazri di ofis. Lama kami tak berbual panjang. Lama juga kami tak bincang hal yang signifikan. Balik-balik asyik kutuk mengutuk. Aku kutuk kereta dia dan dia kutuk kereta Aku. Aku kutuk bank dia, dia kutuk bank Aku. Pantang bagi bola lambung.

Kereta Jon Zulazri. Masa ni tahun 2017 bulan Jun rasanya, dia baru beli. Orang kereta gear dekat tengah-tengah konsol, dia punya gear dekat stereng. Gila apa. Ini dah macam van.

Tapi senja baru ini ada satu enlightenment baru yang Jon Zulazri khabarkan. Ia adalah tentang “Dua Daya”.

Mengikut wahyu yang beliau terima setelah selesai solat asar pada waktu hampir maghrib, Jon mengatakan bahawa di dalam dunia ini ada “Dua Daya” ( sebenarnya Jon tak cakap terma “Dua Daya” ini, Aku yang rebrand balik bagi nampak saintifik dan sedikit matematik ). Kedua daya ini sangat penting dalam menentukan kejayaan hidup seseorang. Kata Jonlah. Dan Aku setelah berfikir balik,  Aku rasa ada kebenarannya.

Pertama, adalah daya atau kekuatan untuk menghabiskan sesuatu yang baru yang sukar, sehingga habis. Manakala yang kedua, adalah daya atau kekuatan untuk menolak sesuatu yang senang.

Aku explain daya yang pertama.

Idea daya yang pertama ini adalah hasil pemerhatian Jon Zulazri kepada Aku. Menurut beliau, Aku mempunyai kekuatan untuk menghabiskan sesuatu yang baru yang sukar, yang tak pernah Aku buat sebelum ini. Sebagai contoh kata Jon Zulazri, Aku boleh menghabiskan larian marathon sejauh 42 KM walhal umum mengetahui, di sekolah dulu Aku bukanlah seorang yang aktif sukan pun. Kalau orang lain star bola atau star ragbi, Aku dikategorikan golongan kaki bangku. Dan untuk menghabiskan larian marathon 42 KM, Aku dulu telah mengambil masa hampir 3 tahun lamanya. Satu komitmen yang sukar yang menuntut satu kecekalan hati yang teguh dan bukan senang mengalah.

Kata Jon lagi, satu lagi contoh adalah apabila Aku boleh belajar menunggang motosikal daripada tak pernah bawak motor dan tak pernah ada lesen, terus tiba-tiba mempunyai lesen B Full dan terus pula mengembara satu semenanjung Malaysia dalam masa tak sampai setahun. Ya, ini Aku buat tahun lepas malah mengembara semenanjung itu, seorang diri.

Dua contoh ini menyebabkan Jon mengakui bahawa ini adalah kelebihan yang Aku ada berbanding dirinya dimana kalau dia, dia takkan sanggup malah tidak mempunyai daya kekuatan untuk mencuba sesuatu yang baru yang sukar atau asing.

Satu contoh akhir kata Jon, contoh yang lebih signifikan yang membawa kami kepada hari ini, adalah apabila melihat Aku memulakan perniagaan ( kami berdua berasal dari keluarga yang semuanya makan gaji ) berbelas tahun dulu. Kata Jon, dia sendiri kalau seorang diri takkan sanggup dan berani untuk berhenti kerja dan mencuba nasib untuk berniaga, kalau tak kerana Aku yang mulakan dulu. Aku dan Jon sebenarnya rakan niaga dalam beberapa buah perniagaan. Ada yang berjaya dan ada juga yang melingkup.

Manakala daya yang kedua pula adalah daya untuk menahan diri atau menolak daripada membuat sesuatu yang sangat senang. Ini adalah hasil pemerhatian Jon terhadap dirinya sendiri.

Sebagai contoh, Jon adalah seorang social smoker. Dia akan pau rokok Aku setiap kali Aku hisap rokok. Ini sudah menjadi rutin biasa dan Aku pun langsung tak ambil port walaupun Aku tahun Jon boleh beli 20 kotak satu hari kalau dia mahu.

Bagi Jon, perbuatan meng-pau rokok Aku adalah sangat senang. Sebab dia tahu Aku tak kisah, dan dia pula boleh pau bila-bila masa. Namun, sejak akhir-akhir ini ( Aku rasa sejak dia sambut birthday 40 tahun ) Jon berhenti pau rokok Aku malah terus menerus berhenti hisap rokok.

Ini adalah daya kedua yang Jon maksudkan. Sesuatu benda yang senang, tapi dia ada kebolehan untuk tidak buat dalam sekelip mata. Kalau difikirkan balik, biasanya benda yang senang, memang kita akan buat sebab benda itu senang, so, apa ada hal?

Satu lagi contoh yang Aku rasa lebih financial adalah tentang berbelanja.

Alhamdulilah kami setelah susah macam duduk dalam longkang satu zaman dulu hari ini Allah beri sedikit kemewahan. Dan kerana ada sikit duit lebih, maka mula nak berbelanja sesuka hati. Oleh kerana Aku dan Jon adalah rakan niaga, maka gaji yang kami ambil sama.

Namun, walaupun gaji yang kami ambil sama, Jon mempunyai kekuatan untuk tidak berbelanja sesuka hati walaupun boleh sangat dan Aku kira, apa ada hal? Makanya ini adalah kelebihan yang Jon ada berbanding Aku, jelas nyata adalah kelemahan bagi diri Aku. Bagi Aku kalau benda itu boleh kita buat, kenapa kita tak buat?

Sebagai contoh kata Jon, Aku sudah mempunyai sebuah motor yang baru dibeli tahun lepas, tetapi tahun ini Aku dah nak beli sebiji lagi. Hakikatnya, Jon pun boleh juga sebab dia lagilah seorang rider TZM dulu, namun Jon, memilih untuk tidak walaupun puas sudah Aku membakar.

Bila Aku fikir balik dalam-dalam, Aku rasa memang betul Jon ada kekuatan ini. Sebagai contoh, tentang basuh kereta. Paling senang adalah kita hantar kedai dan bayar RM20 untuk cuci bagai tapi Jon memilih untuk basuh sendiri. Jon siap ada kit kelengkapan basuh kereta yang agak deep level OCD. Malah untuk memastikan keretanya bersih, dia siap beli vacuum Dyson yang akhirnya Aku juga turut terpedaya untuk beli tapi tak pernah Aku pakai untuk vacuum kereta Aku pun.

Sebagai penutup diskusi berat senja itu, Jon membuat kesimpulan bahawa, jika seorang manusia memiliki kedua-dua “Dua Daya” ini, pastinya seorang manusia itu berada di dalam level yang lain. Bayangkan seorang manusia yang capable untuk membuat sesuatu yang tidak pernah dia buat dalam hidup, malah dalam masa yang sama, mampu untuk tidak buat atau menolak benda-benda yang mudah dibuat sekelip mata, atau dalam erti kata lain, mematikan habit atau sikap yang sudah terbiasa.

Tiba-tiba Aku terdapat satu idea. Esok Aku akan katakan kepada Jon begini. Since dia boleh menolak dengan mudah sesuatu yang selalu dia buat, apa kata dia mula berhenti kutuk kereta dan bank Aku. Aku nak tengok sejauh mana dia boleh buat benda ini.

Adalah lebih sukar sebenarnya, menolak sesuatu yang senang, berbanding mencuba, sesuatu yang sukar.