Daripada Run kepada Ride

Baru – baru ini Aku update description profile instagram Aku. Daripada “penulis + runner = perruner”, Aku ubah “run + ride = write”.  Perasan hati Aku yang description baru ini lebih berpantun rythmnya.  Macam sedap sikit. Lagipun, Aku rasa sebab sejak kebelakangan ini, Aku lebih banyak main motor daripada keluar berlari.  Maka hasilnya lebih banyak gambar IG motor daripada IG berlari. Dan lagi satu sebab Aku dah lama fikir, perruner ini bunyinya macam perana (orang yang merana).

Manakala semalam pula, adik ipar Aku dan isterinya datang rumah turun dari Kedah. Banyak yang kami bualkan dan salah satu daripadanya adalah persoalan misteri – “Macam mana bang chaq (Aku) sebelum ni tak pernah reti pun bawak motor, aleh-aleh tiba-tiba boleh terus lompat main motor besar?”

Jujurnya, Aku sendiri tidak boleh nak jawab persoalan ini. Memang betul, Aku bukan setakat tidak ada lesen motor, malah, tak pernah reti pun bawak motor sebelum ini. Kalau masa di universiti dulu semua geng kacak ada motor dan bonceng awek ke hulu ke hilir, Aku dan semua housemate Aku cuma mampu mempunyai basikal yang awek pun haram tak toleh. Manakala apabila sejurus bekerja selepas grad, disebabkan gaji Aku agak lumayan, Aku terus membeli sebuah Wira Aeroback baru daripada membeli sebiji motor dengan harapan dapat memancing awek kerana mempunyai kereta dapat memberi gambaran lelaki kestabilan abadi.

Seingat Aku, ada sekali je Aku bawak motor kapchai C70 pada tahun 2014 itu pun macam orang baru belajar naik basikal menggigil takut nak jatuh. Adik-adik Aku punya kurang ajar siap gelak dan depa amik video time Aku ride tu. Sakit perut semua orang ketawa termasuk Aku. Kesimpulannya, Aku dengan motor, adalah zero level loser. Keluarga kami adalah keluarga yang bebas motor. Motor adalah satu benda yang tak akan abah Aku beli dan ada di rumah untuk anak-anak dia pakai. Dari kecik kami memang dibesarkan dengan paradigma motor adalah bahaya. Pergi mana-mana naik kereta. Hatta ke kedai depan beli suratkhabar.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Dua tahun selepas itu, Aku ke Bali Indonesia untuk menyelesaikan panggilan Full Marathon Aku yang pertama. Sambil menanti race,  Udey, kapten larian Kelab Conquer itu telah membawa Aku ke sebuah kedai iaitu The Temple of Enthusiasm atau Kuil Kemahuan Teramat – Deus Bali. Ada banyak motor custom dijual disini rupanya selain cafe minum dan garaj bikin motor. Tidak Aku ketahui, minat pada motor Aku rupanya mula terpupuk tersembunyi di sini.  Ada satu gambar dimana Aku duduk diatas sebiji Scrambler dan pada ketika Aku menyentuh handle bar itu, ada satu “keperluan baru” berputik dari dalam diriku, tanpa Aku sedari.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Jikalah Aku mempunyai makrifat yang tajam, pasti Aku boleh melihat segalanya tersambung. Tag line Marathon Bali tahun itu : “Run – Find Yourself“. Rupanya acara pertama Full Marathon Aku, menemukan Aku yang lebih dalam di Temple of Enthusiasm. 

Kalau orang tanya Aku kenapa tiba-tiba ada minat ride motor, Aku rasa semuanya berpunca apabila Aku balik kampung masa raya beberapa tahun lepas. Semasa kami ramai-ramai belek gambar-gambar lama, Aku ada perasan sekeping gambar arwah Paklong Aku tengah posing atas motor arwah Aki Aku. Maka, terkeluar cerita lama rupanya arwah Aki Aku dulu ini ada motor besar. Masa tu arwah Aki duduk di Pekan. Hanya ada 2 orang yang ada motor besar di Pekan waktu itu. Sultan Pahang, dan arwah Aki. Motor arwah Aki adalah Honda CB175. Zaman itu 175 cc adalah cc paling besar. No plate motor, CB2173. Dikatakan Abah Aku yang tak reti bawak motor pun pernah ride sekali naik motor arwah Aki ini (pak mertua dia).


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Namun apabila arwah Aki pindah daripada Pekan ke Kuala Lipis, arwah Aki jual motor ini lepas 3 kali jatuh motor. Kali terakhir jatuh adalah waktu hujan bila kain baju hujan ter-slip masuk dalam rim motor.  Kami ada berbincang untuk mencari di mana motor ini sekarang melalui carian plate number dan kalau ada rezeki, cuba nak beli semula. Kalau tak dapat motor yang asal, dapat yang Honda CB175 pun jadilah.

Tetapi perancangan mencari motor itu tidaklah serius mana berbanding perancangan Aku untuk mempunyai sebiji motor. Aku rasakan bahawa pada ketika saat ini, daripada 25 orang cucu arwah Aki, seorang pun tidak ada yang sambung minat arwah Aki ini. Ini juga termasuk 12 orang anaknya (pak sedara dan mak sedara dan mak Aku). Aku fikir, jika roh arwah Aki balik waktu raya puasa nanti, at least tahun ini dia akan tersenyum lebih sikit bila tengok salah seorang keturunannya ada minat yang sama dengan dia.

Itu cumalah asbab dalam bercerita, atau catalyst punca yang trigger kepada sesuatu. Jika Aku renung dalam-dalam kenapa Aku tiba-tiba nak ride, Aku rasa, Aku sebenarnya nak challenge dalaman Aku. Aku dulu selalu berfikir bahawa ride motor adalah satu aktiviti yang bahaya dan boleh mendatangkan kecederaan. Ini kerana apabila seseorang ride motor, ruang untuk kemalangan itu lebih tinggi bagi penunggang. Berbanding dengan jentera lain seperti bas dan lori atau kereta yang laju-laju, apalah sebiji motor di atas jalan? Sebenarnya yang Aku cuba takluk adalah FEAR yang selama ini menghantui hati Aku bahawa menunggang motor, sangat bahaya.

Ketakutan untuk terus bergerak kehadapan dengan hanya berlandaskan imbangan pada dua roda, ini adalah cabaran yang Aku berikan pada diri Aku untuk Aku sahut sendiri.

Too many of us are not living our dreams because we are living our fears kata Les Brown. Manakala kata Steve Mcqueen yang lebih lelaki, When I believe in something, I fight like hell for it“. Aku percaya Aku boleh mengatasi FEAR yang ada dalam diri ini. Dan Aku percaya, dengan segala usaha dan asa, Aku akan mengembara jauh satu hari nanti dengan hanya menunggang motor. Hanya masa yang mencemburui dan mengekang impian ini.

clanek-428-1424412723
Steve Mcqueen

Maka, bermulalah kajian mendalam Aku tentang motor. Aku bahagikan kesemua kisah ini kepada 4 fasa. Fasa pertama, adalah  fasa asas. Fasa Aku pergi kelas ambil lesen dan mula belajar asas menunggang. Fasa kedua adalah fasa mencari motor yang paling sesuai. Fasa dimana Aku mesti mempunyai (beli) sebiji motor. Fasa ketiga adalah fasa Ride, dimana sebenarnya fasa yang Aku betul-betul belajar ride motor sendiri termasuk mengenal mendalam jentera bernama motor. Fasa akhir pula adalah fasa pengembaraan Aku dan motor secara lebih deep, yang  Aku rasa lambat lagi nak sampai mungkin makan bertahun.

***

Aku sudah berlari lebih daripada 5 tahun. Dan dalam 5 tahun itu Aku telah berlari daripada mula 1km di playground Kinrara kepada 42km di Tokyo Marathon. Banyak yang Aku belajar dan tulis dalam episod lariansebuahkitab Aku. Aku rasakan tiba masanya untuk Aku belajar jauh lagi maka Aku rasakan bahawa ini adalah chapter seterusnya dalam hidup Aku.

Lari mengajar Aku erti kemahuan mendalam terikhlas, manakala menunggang, mungkin mengajar Aku lebih dalam lagi. Tetapi jika kawan-kawan rapat yang bertanya dengan terperanjat, “Eh… zizi dah ride motor?”, maka akan Aku katakan jawapan pendek sebegini. “Mid life crisis“.

Sukar untuk menjelaskan kepada orang, bahawa kadangkala, dalam pengembaraan jalan lurus kita menjadi lebih memerhati dan berhati-hati bila menunggang, berbanding memandu. Akibatnya jumlah pengalaman dan perasaan yang kita kutip dari setiap kilometer yang kita lalui itu lebih banyak dan dalam, mengakibatkan hati dan firasat kita menjadi lebih tajam. Kata orang “Life begins at 40“.  Untuk Aku yang menjelang 40, ride adalah salah satu pelajaran dan pengalaman untuk menajamkan lagi perasaan Aku kepada yang Satu.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

P/S Bini Aku kata sebelum dia mati dia nak merasa naik motor dengan laki dia. Tunggu Abiang mahir bawak diri sendiri dulu sebelum Abiang bawak Anda.