Catatan Meditation, Hari – 54

Minda kita ini memang tidak akan duduk diam. Ia tidak akan berhenti dan akan ada sahaja ia berfikir. Kata seorang pengamal meditasi di Youtube yang Aku tonton beberapa tahun dulu, katanya, “Our mind is like a jumping monkey. The mind jump from here to there, and from there to anywhere”.

Satu hal yang paling susah semasa meditasi adalah untuk mendiamkan minda. Jika gagal untuk buat ini, maka, boleh jadi meditasi yang kita buat itu menghampiri skala sia-sia. Ini adalah berbalik kepada matlamat asal meditasi. Matlamatnya, adalah untuk mengosongkan fikiran agar dapat berhubung dengan diri batin atau dalaman.

Jika fikiran tidak dapat dikosongkan, bercelaru, maka, untuk berhubung dengan diri batin ini agak sukar sekali.

Oleh itu, melalui latihan, Aku buat begini :

Ketika memejam mata itu, pertama, buka mata dalam mata yang sedang pejam itu. Aneh tetapi itulah hakikatnya. Bagaimana untuk tahu, mata dibuka, ketika pejam?

Cuba begini. Pejam mata. Dan jangan fokus pada apa-apa. Kamu akan rasa bahawa suasana hitam menyelubungi pandangan mata. Kemudian, perlahan-lahan, bayangkan kamu membuka mata, didalam kepejaman itu. Fokus pada ruang hitam yang lebih hampir dengan kamu.

Apabila ini berlaku, kamu akan dapati dan rasa, terdapat gegelung warna di dalam pandangan suasana hitam tadi. Ini, bagi Aku, kamu telah berjaya membuka mata dalam pejaman mata. Boleh Aku katakan, kamu telah mula membuka mata batin.

Namun begitu, jangan pula kamu layan gegelung warna ini kerana ini, bukanlah matlamat kita. Sebaliknya, alihkan fokus pada dahi kamu dimana disitu,  dikatakan mata ketiga atau 3rd eye. Diamkan fikiran kamu disitu. Jangan ada pemikiran lain langsung. Seraya membawa fokus ke 3rd eye, bawa juga fokus diri kamu ke present, atau pada ketika ini.

Sepatutnya jika kamu beroleh kepada fokus ini, pemikiran yang lain seharusnya sudah lenyap. Duduk disini, dan sambunglah bernafas.