Akses kepada kemahuan

Agak lama juga Aku tidak ke Kino. Ke hati Kuala Lumpur KLCC itu, sebenarnya sejak office Aku pindah ke Subang, hanya kalau ada hal yang perlu sahaja Aku lewat ke sana. Dan baru-baru ini, setelah habis bertemu seorang Dato Seri yang kuat membuli di Matic Jalan Ampang, Aku langsung ke KLCC dengan tujuan hanya ke situ.

Dato Seri ini Aku katakan buli bukan apa. Mentang-mentang Aku ini nampak macam muda mukanya dan dirasakan dia lebih tua dan banyak makan garam agaknya, maka dalam perundingan hal perniagaan itu seboleh-boleh dia meminta segala yang menyebelahi dia. Seperti, dia rasa yang Aku ini sangat perlukan dia. Dia tidak tahu yang Aku perlukan hanyalah Satu sahaja. Game politik seperti ini Aku sudah masak sangat. Maka disini Aku ingin berpesan. Sekiranya sampai satu ketika bertemu akan pembuli seperti ini, adukan hal ini kepada yang Maha Mendengar. Nescaya, dibukanya jalan untuk terus kedepan, bagaimana.

Aku ke Kino dengan hati yang lebih tenang. Agak lama Aku pusing-pusing sementara cuba melupakan wajah Dato Seri yang tak berapa nak bercahaya itu. Hinggalah Aku sampai ke bahagian komik, lalu tangan ini seperti magnet dari pintu masuk hingga mencapai beberapa buah buku yang bertajuk “Buddha”.

Aku tidak ingat bila Aku beli buku “Buddha” vol yang pertama. Rasanya macam 2 – 3 tahun lepas. Tetapi waktu itu cuma ada satu sahaja. Berbanding hari ini, agaknya kalau ada anak Aku EL Lukh bersama, pasti dia upaya mengira nombor dari 1 sampai 8. Dan kerana susunan buku “Buddha” ini penuh sampai tamat, muka Aku hari itu sangat ada senyum. Bertahun tunggu atau bolehkah Aku katakan, berjanggut menunggu?

“Buddha”, adalah novel grafik oleh Osamu Tezuka, seorang maharaja komik manga dari Jepun yang melukis Astro Boy yang lebih popular itu. Arwah boleh dikatakan sebagai, Walt Disney dari negara matahari terbit. Agak menyesal ketika Aku di Tokyo dulu tidak melawat muzium khas untuk beliau. Mungkin waktu itu belum sampai seru lagi kerana semasa di Tokyo tahun 2017 itu, Aku ke cuma sempat ke Studio Gibli, selain melawat Kinokuniya yang Haruki Murakami beli pen dan kertas sebelum menjadi penulis tersohor. Dan Aku sempat juga ke Peter Cat, ambil gambar aksi buat mabuk tepi tangga.

Lalu Aku mengambil “Buddha” no 2 dan 3. Selain dari ini, no 4,5,6,7 dan 8, Aku hembus dan jampi supaya cahaya yang ada padanya kurang agar sesiapa yang lalu di situ, terlupa dan tidak nampak 5 buah buku ini.

Aku kemudian terus sahaja ke kaunter untuk bayar. Jumlah tapak waktu itu Aku rasa lebih banyak dan cepat berbanding sebelum jumpa “Buddha” no 2 dan 3.

Tetapi sebaik sahaja Aku sampai di kaunter yang awal tadi kosong, Aku lihat ramai pula yang beratur. Aku rasa, kalau Aku tunggu, mungkin janggut yang bewarna putih ini boleh gugur. Aku bertanya sendiri. Ada apa yang Aku lupa sampai begini panjang halangan tersusun depan Aku?

Ah. Ada rupanya. Katanya, “Beli untuk diri sendiri je? Bini tak ingat?”

Aku lalu patah balik dan melilau mencari, kalau-kalau ada buku yang memanggil lagi untuk dibawa pulang. Aku lihat jam waktu itu sudah hampir pukul 4. Kalau lambat, nak keluar dari hati Kuala Lumpur ini agak bala dengan jem yang tak ingat.

Sampai pada bahagian novel-novel cinta, fiksyen dan fantasi yang kawasannya agak tinggi sikit berbanding lain ( ada semacam serongan lantai papan yang dirasakan kalau ada skaters, mereka akan meluncur naik), Aku pusing-pusing untuk tengok kalau – kalau  ada yang berkenan. Ada satu rak tepi dinding kaca dimana bersusun bertingkat buku – buku warna coklat semacam kamus. Aku datang dekat dan tengok, “The Killing Commendatore”. Oh, dah sampai buku ini di Malaysia. Teringat semula dulu masa ke Kino yang pertama di Jepun, mencari pen dan kertas, buku ini baru launch sehari tapi of course, semua tulis jepun. Ada gambar pedang samurai di kulit depan buku itu semacam memberi tahu, ini buku ganas tentang pembunuhan. Bentuk pedang ini mengingatkan Aku pada pedang api milik Penduga Arus, watak pembelot yang awalnya setia dalam komik Pedang Setiawan yang popular tahun 1990 an dulu. Setelah belek-belek, Aku kemudian melangkah lagi meninggalkan memori yang semakin kabur itu.

Untuk jimat masa, Aku lalu telefon isteri Aku agar mudah bagi Aku mencari buku apa yang perlu. Tanya dia senang sikit. Tapi 2 kali Aku telefon, dia tidak angkat. Sama ada tengah tidur dengan anak-anak, atau telefon tertinggal tingkat atas. Ada Aku cuba jerit nama dia kuat suruh angkat tapi tak berapa nak berkesan. Mungkin sebab Aku dah berhenti meditation semula setelah rekod mencapai 88 hari tanpa berhenti. Malang pada hari ke 89 Aku terlupa nak meditate sebab masa itu kami di Kuantan leka bercuti. Paling frust Aku bila tertinggal satu hari dan sampai hari ini Aku tinggalkan lagi. Mungkin new year nanti baru sambung semula sebagai menghormati azam tahun baru seluruh manusia.

Aku pusing banyak kali mencari judul apa yang harus Aku belikan. Bila masuk pusingan ke lapan, Aku rasa Aku menyerah kalah dan tewas. Buntu. Tidak tahu yang mana hendak dibeli.

Aku lalu berhenti dan diam di satu sudut. Ah… baru Aku teringat. Kenapalah Aku tak tanya terus buku apa yang paling sesuai yang kalau Aku beli dan bawa pulang, markah Aku sebagai seorang suami akan naik 200 peratus?

Terus, katanya begini, “Ambil yang itu”.

Aku lihat, di rak tepi, ada sebuah buku berwarna biru muda. Ada gambar kucing. Buku itu Aku ambil, pegang dan belek. Tajuknya, “The Travelling Cat” oleh Hiro Arikawa.

“Terima kasih” kata Aku, tanpa sangsi.

Aku kemudian langsung ke kaunter. Jurujual dua orang disitu sedang membawang. Orang, tidak ada langsung dan Aku faham semuanya sedang dipermudahkan.

***

Sampai di rumah Aku buat muka senyum. Bila isteri Aku lihat ada beg kertas Kino, dia tanya “Eh pergi Kino ke?” Aku kata dengan suara kecil seperti Doraemon,  “Tak lah. Mana ada”. Isteri Aku buat muka. Dia cepat-cepat belek dan tengok ada 3 buku di dalam. “Buddha???” Aku tersenyum monyet.

“Eh… The Travelling Cat??? Haa… dah lama kita nak beli buku ni…. mana anda tahu kita nak buku ni?” Sekali lagi Aku tersenyum monyet. Di sebelah Aku tiba-tiba ada markah 200% muncul dengan sound effect loceng tanda gembira.

***

Esoknya Aku ke KLCC lagi. Tapi kali ini dengan isteri dan anak-anak. Setelah makan di Chili’s, kami naik ke Kino. Aku ke bahagian komik dan tersenyum bila lihat “Buddha” vol 4,5,6,7 dan 8 masih tersusun tegak. Aku kemudian naik Kino tingkat atas dengan EL. Sambil EL main pusing-pusing rak Moleskine, Aku ambil beberapa naskah diari untuk isteriku, adik perempuanku dan adik iparku. Aku ambil satu yang warna hitam untuk ayahku dan untuk Aku, cukup yang kecil sahaja. Ini memang ritual tahunan Aku sejak beberapa tahun sudah. Niat Aku, agar orang-orang yang Aku sayang boleh menulis segala perancangan yang mereka mahu luahkan dalam hadiah yang agak seberapa itu.

Moleskine tahun ini agak maju berbanding tahun dulu. Tema dia agak boleh tahan ramai. Kalau dulu ada Darth Vader Star wars bagai. Sekarang macam-macam sampai nak tengok apa pun Aku dah tak faham. Ada satu yang warna hijau gelap khas untuk travellers. Yang ini siap dalam kotak dan Aku rasa ada pen khas untuk tulis pengembaraan epik.

Bila turun bayar jurujual bagi pesan suruh ambil gift card di information counter. 1000 orang pertama enjoy kad apa ntah yang ada link dengan apps Kino. Katanya ada RM20 dalam kad itu. Aku tak berapa nak hadam sangat sebab dalam otak Aku adalah hanya untuk memulakan dengan cepat siri marathon “Buddha” dari no 1 (repeat), 2 hingga no 8 dalam masa sisa akhir tahun ini.

***

Hati, jika dibuka, boleh diakses melalui cara tertentu. Apabila 2 hati menjadi satu, aksesnya lebih lagi. Sebaliknya, jika hati telah tertutup, haram nak akses macam mana pun sudah tidak boleh. Barangkali ada cara cuma mungkin belum sampai tahap untuk tahu. Mungkin juga sebab belum layak dan mungkin juga, sebab sudah tidak ada keperluan lagi.

Kita terfikir sebenarnya walaupun kita berjauh, kerana adanya Yang Maha Mengetahui juga Yang Maha Memberitahu, apa yang kita tidak tahu boleh jadi tahu. iPhone yang canggih pun tidak ada applikasi sebegini. Connection menyebabkan sesuatu, connected. 

Selalu-selalulah guna Google di dalam hati. Moga menemui apa yang dicari.

***