A, B atau C?

Ada waktu dalam hujung tahun lepas. Dimana, Aku diberi pilihan sama ada A, B atau C. Lalu Aku menemui setiap dari mereka ini untuk menilai dan membuat keputusan, yang dahulu kala, dinamakan Kuda.

Kuda pertama yang Aku tunggang adalah kuda C. Aku merasakan kuda ini terlalu berat bagiku. Untuk menunggang kuda ini, ia adalah ibarat menunggang kuda gemuk sebesar gajah yang kerajaan Melaka beli, dari kerajaan Sumatera dahulukala. Melihat pakaian kuda C ini, hati Aku berkata, ia terlalu mewah bagiku. Ini, persis kuda istana. Menunggang kuda ini, seolah memberitahu : Aku adalah raja. Di tapak kaki kuda ini, tertulis nombor : 350e.

Kuda kedua yang Aku tunggang adalah kuda B. Kuda ini ganas. Aku pernah katakan kepada kawan Aku, “If you want to become beast, then this is for you“. Kuda B ini terlalu liar untuk dijinakkan. Ini, adalah kuda perang. Sejurus Aku menunggang, Aku dapat merasakan adrenalin jantung Aku berdegup kencang. Sekelip mata, Aku telah dibawa jauh beratus kaki dari tempat Aku mula. Hati Aku berkata, “Ini, terlalu fizikal”. Namun pakaian kuda B ini tidak semewah kuda C. Kelebihannya adalah, bila Aku membesit untuk pergi, Aku hampir hilang kawalan dalam hujan renyai yang membasahi bumi. 2 kali Aku pusing jalan belakang Glenmarie sambil ketawa kerana merasai darah muda, bukan selalu. Aku, bagaikan hidup semula! Apabila Aku membelek nombor siri yang tertulis pada ladam yang melekat pada kaki kuda ini, tertulis nombor : 330e.

Kuda ketiga, sebaliknya, memberikan Aku tanda-tanya. Pertama kali naik keatas kuda A ini, perasaannya seperti agak misteri.  Hati Aku dibiarkan bisu tanpa persoalan. Sebaliknya, Aku biarkan perasaan Aku ini, berkenalan dengan kuda A ini. Aku letakkan tangan ini dan merasai setiap rupa dan bentuk kuda ini. Ah…. ia bukanlah seperti kuda istana, dan bukan pula seperti kuda perang. Dalam erti kata lain, ia bukan untuk kerabat diraja atau jeneral tentera.

Matanya bersinar dan memberikan cahaya yang telah Aku kenal. Hati Aku terpaut, bukan kerana rupa tetapi sebaliknya, falsafah cahaya yang kuda ini bawa. Ia bukan setakat menerangi jalan malam Aku yang kelam, malah menerangi jalan Aku yang suram.

Garis lurus dari belakang pinggul kuda ini hingga ke matanya, mengingatkan Aku jalan pulang.

***

Ada 3 jenis manusia di muka bumi ini. Pertama yang terpaut hatinya kepada kemewahan dunia. Kedua pula adalah yang terpaut hatinya kepada tenaga dan darah muda. Tidak ada salahnya memilih yang mana-mana, kerana hakikatnya yang memilih itu bukan kita.

Aku lebih terpaut hati kepada kebijaksanaan. Kerana, bagi Aku kebijaksanaan boleh menampakkan manusia betapa, cahaya itu berlapis-lapis membentuk Satu yang menampakkan kita jalan yang lebih lurus. Kebijaksanaan, boleh membawa manusia kemana sahaja dia mahu.

Dan kerana itu, Aku telah memilih kuda A sebagai kenderaan rasmi Aku untuk terbang, lebih dalam lagi. Itu pun kalau diizinkan oleh Nya.