Monthly archives of “October 2018

Catatan Meditation, Hari – 54

Minda kita ini memang tidak akan duduk diam. Ia tidak akan berhenti dan akan ada sahaja ia berfikir. Kata seorang pengamal meditasi di Youtube yang Aku tonton beberapa tahun dulu, katanya, “Our mind is like a jumping monkey. The mind jump from here to there, and from there to anywhere”.

Satu hal yang paling susah semasa meditasi adalah untuk mendiamkan minda. Jika gagal untuk buat ini, maka, boleh jadi meditasi yang kita buat itu menghampiri skala sia-sia. Ini adalah berbalik kepada matlamat asal meditasi. Matlamatnya, adalah untuk mengosongkan fikiran agar dapat berhubung dengan diri batin atau dalaman.

Jika fikiran tidak dapat dikosongkan, bercelaru, maka, untuk berhubung dengan diri batin ini agak sukar sekali.

Oleh itu, melalui latihan, Aku buat begini :

Ketika memejam mata itu, pertama, buka mata dalam mata yang sedang pejam itu. Aneh tetapi itulah hakikatnya. Bagaimana untuk tahu, mata dibuka, ketika pejam?

Cuba begini. Pejam mata. Dan jangan fokus pada apa-apa. Kamu akan rasa bahawa suasana hitam menyelubungi pandangan mata. Kemudian, perlahan-lahan, bayangkan kamu membuka mata, didalam kepejaman itu. Fokus pada ruang hitam yang lebih hampir dengan kamu.

Apabila ini berlaku, kamu akan dapati dan rasa, terdapat gegelung warna di dalam pandangan suasana hitam tadi. Ini, bagi Aku, kamu telah berjaya membuka mata dalam pejaman mata. Boleh Aku katakan, kamu telah mula membuka mata batin.

Namun begitu, jangan pula kamu layan gegelung warna ini kerana ini, bukanlah matlamat kita. Sebaliknya, alihkan fokus pada dahi kamu dimana disitu,  dikatakan mata ketiga atau 3rd eye. Diamkan fikiran kamu disitu. Jangan ada pemikiran lain langsung. Seraya membawa fokus ke 3rd eye, bawa juga fokus diri kamu ke present, atau pada ketika ini.

Sepatutnya jika kamu beroleh kepada fokus ini, pemikiran yang lain seharusnya sudah lenyap. Duduk disini, dan sambunglah bernafas.

Kabus dan Kujes

Di jalan menuju sengenting kera ini, lebih tepat lagi, di awanano berhampiran dengan kedai kopi yang bewarna hijau itu Aku telah menemui dua sahabat baru. Seorang, namanya Sang Kabus, dan seorang lagi, Sang Kujes.

Aku ceritakan dulu perihal akan Sang Kabus ini. Kedatangan sahabat ini adalah sifatnya menjelma daripada tidak ada kepada ada. Warnanya putih penuh, dan kalau kamu mahu tanya ketebalannya, boleh Aku katakan ia berubah-rubah mengikut masa.

Oleh kerana sifatnya yang putih penuh itu, sahabat ini membuatkan pandangan Aku tidak jelas dan tidak nampak yang disebalik. Uniknya Sang Kabus, dari jauh ia kelihatan namun bila Aku cuba menyapanya dengan dekat, ia menghilang.

Dan ketika ia menghilang inilah Aku bertemu dengan seorang lagi sahabat yang bernama Sang Kujes.

Sang Kujes, berbanding Sang Kabus, adalah sahabat yang pemalu. Tidak semua orang dapat melihat wajah si pemalu Sang Kujes ini. Hanya yang mempunyai makrifat tinggi boleh merasakan kehadiran Sang Kujes ini. Petandanya mudah, apabila kamu rasakan bahawa tiba-tiba kedinginan yang amat sangat, maka ketika itulah hadirnya Sang Kujes. Kadang-kadang, bulu roma kamu akan berdiri. Dan kadang-kadang, bagi yang hatinya tidak kuat, jantung kamu boleh terhenti sesaat menjelang kehadiran Sang Kujes ini ( kamu terbersin ).

Maka kerana Aku berada di pertengahan antara Sang Kabus dan Sang Kujes, Aku beroleh upaya untuk bertanyakan kepada mereka berdua begini : Apakah tujuan kamu menjelma hari ini datang berjumpa dengan Aku.

Seraya itu, suasana sekelililng Aku mula menebal dan putih memenuhi dan Aku, tenggelam dalam warna suci ini. Sang Kabus berbisik perlahan kepada Aku begini.

“Aku datang untuk memberitahu kamu manusia, bahawa, Aku akan menutup matamu dari melihat kebenaran yang sebenar-benar wujud. Akan aku warnakan pandangan kamu dengan tona putih tak berpenghujung, lalu dalam kepalsuan itu kamu akan lebih fokus kepadaku, daripada fokus kamu kepada kebenaran itu.”

Lalu tahulah Aku bahawa Sang Kabus ini, sifatnya memperdaya mata. Hadirnya Sang Kabus, menyebabkan jalan hidup Aku, tidak kelihatan hujungnya, tidak kelihatan keadaannya dan tidak kelihatan belakangnya. Akan itu, Aku fikirkan jika Aku tidak mengenal dan tidak sedar siapa sebenarnya Sang Kabus ini, boleh jadi arah kiblatku berubah, tersasar dari yang sepatutnya.

Aku kemudian bertanya pula kepada Sang Kujes begini : Maka kamu pula, apakah tujuan kamu mengelilingi Aku dari hujung kaki ke hujung rambut hari ini? Sang Kujes, seperti tiba-tiba, meningkatkan tekanannya menjadi kuat, menghimpit kepada kulit – kulit Aku hingga tergigil Aku sejuk, lalu berkata begini.

“Aku datang untuk memberitahu kamu manusia, bahawa, Aku akan menutup rasamu dari merasakan kebenaran yang sebenar-benar wujud. Akan aku tiupkan hembusan salju kepada diri kamu tak terhenti, lalu, dalam perasaan dingin itu hati kamu menolak kepada kebenaran yang sebenar-benar timbul, lalu dalam kepalsuan itu kamu akan lebih fokus kepada menghangatkan diri kamu, daripada merasakan kehangatan kebenaran itu”.

Lalu tahulah Aku lagi bahawa, Sang Kujes juga, sifatnya adalah memperdaya, tetapi hebat Sang Kujes adalah pada hal rasa. Sama seperti Sang Kabus tadi, Sang Kujes hadir untuk mengalih hati ini daripada arah kiblat hidupku menuju jalan yang lurus.

Aku diam seketika. Sang Kabus Aku lihat, terawang-awang di hadapanku, mungkin didodoi oleh Sang Kujes yang ada disekelilingku. Bagaimanakan caranya Aku rasa untuk menolak kedua sahabat ini dengan baik, agar, dapat Aku sambung pengembaran siri jalan lurus Aku ini?

Hati Aku kemudian memberi jawapan begini :

Sama ada Sang Kabus, atau Sang Kujes, keduanya kamu tidak akan dapat menolak kedatangannya sampai bila-bila. Sebaliknya, hanya dengan kesedaran, kamu dapat melalui, menembusi keduanya untuk kekal berada di dalam hadratku.

Suasana seakan terhenti. Semuanya diam dan tidak bergerak. Aku menarik nafas perlahan dan dalam, sambil menutup mata. Perlahan-lahan, Aku rasakan Sang Kujes terbang menjauhi Aku. Dan apabila Aku buka mata, Sang Kabus juga telah tidak ada.

Jalan di depan Aku sekarang jelas kelihatan, dan NYATA.

 

View this post on Instagram

 

Tajuk karangan hari ini adalah “Kabus dan Kujes”. #gerakanolos #siribunyamindanrodakehidupan

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Ride #007 – Maha Menguji

Ride #007, 14.10.2018

Ini ride jauh pertama dengan Staze. Staze ini dulu satu dorm dengan Aku dari form 1 sampai form 3. Kami blok B, B25 di shahpekan. Hari ini, daripada 144 orang yang habis SPM1996 dulu cuma Staze dan Aku dari rumah hijau Hamdan main motor, dan Bruce dari rumah biru atau Murad.

Hari ini kami ride bertiga, first time.

Staze lead the way manakala Aku dan Bruce, kadangkala tengah kadangkala akhir. Bruce walaupun katanya nak jadi sweeper, agaknya mental dengan Aku yang ride level noob, adakalanya dia potong tepi.

Staze memang rider kental. Aku tengok exhaust motor dia bahagian tepi sebelah lubang tu terbakar kena sembur dengan api. Cair beb. Gila. Staze memang legend. Total riding distance dia hampir setengah juta kilometer untuk 5 -6 biji motor dia. All time mungkin 8-9 biji. Itu belum kira yang dia bawak motor sejak darjah 3.

***

Kami janji untuk jumpa di RNR ELMINA jam 8 pagi. Kalau waze dari Kinrara ini, dia akan hantar ke RNR ELMINA satu lagi sebelah sana. Kena buat u-turn. Aku dah rasa macam tak betul. Bila semak dengan Staze, rupanya RNR ini atas lagi. Dalam google map nama dia Elmina North Bound Rest Area.

Jam 7:50 Aku sampai. Sementara menunggu, Aku breakfast dulu.

Elok lepas beli mee goreng, Aku ke kedai paling hujung sebelah kanan. Dalam kedai itu, yang jaganya seorang pakcik. Tak tua sangat tapi taklah muda sangat. Bila Aku masuk sahaja Aku rasa macam ada yang tak kena. Kami bertentang mata dan riak wajahnya  macam nampak musuh masuk kedai. Muka ketat gila.

Aku order air teh o limau panas. Dia jawab dengan kasar, limau tak ada. Aku kemudian minta teh o panas. Dia bangun, ke belakang ambil (atau buat air) dan bawa kedepan. Air diletakkan atas kaunter dan dia minta RM1.20.

Aku keluarkan RM2. Dia tanya dengan marah, tak ada 20 sen ke? Aku seluk poket kiri dan kanan Aku kata tak ada.

Dengan marah dia kata lagi, nanti hantar balik 20 sen.

Aku tak tahu apa masalah pakcik ini. Sebagai orang yang meniaga, adalah tanggungjawab orang yang meniaga untuk menyediakan duit kecil. Bukan tanggungjawab orang yang membeli. Sudahlah tak ada duit kecil untuk baki, disuruh lagi Aku untuk hantar semula 20 sen.

Jujur Aku katakan memang Aku agak hangin.

Aku berlalu tanpa kata apa-apa dan mula makan mee goreng yang Aku beli tadi jauh sikit dari kedai pakcik negatif ini.

Betul orang kata, kalau kita selalu meditate, lama-lama kita boleh “rasa” suasana yang bertentang dengan kita lebih cepat dari yang kita sangka. Boleh jadi, mungkin panas.

Sebetulnya Aku ada rasa macam tak mahu minum langsung air teh o panas ini tanda protes. Tapi bila fikir balik sebab dah beli, agak membazir pulak. Aku fikir macam mana nak bagi pengajaran sikit pada pakcik negatif ini. Aku tanya hati, apa yang Aku perlu buat. Tiba-tiba ilham datang kata, celup 20 sen dalam air. Aku tak pasti ini syaitan atau tidak, tapi Aku rasa macam nak buat sebab marah.

Bila Staze sampai, Aku dah habis makan. Bruce sampai, Staze pula dah habis makan. Kami kemudian bergegas gerak. Dari pengamatan Aku, Staze ini jenis tidak melambat-lambatkan masa. Cargas selalu.

Bila nak gerak, Aku tanya Staze ada 20 sen tak? Staze seluk poket tak ada. Bruce dari tepi pun seluk poket, ada. Aku ambil dan letak atas meja sambil cerita balik hal pakcik negatif tadi. Staze tiba-tiba macam bengang juga, lalu diambil 20 sen ini dan celup dalam air. Saat itu hati Aku berkata, kalau dah dua orang fikir benda yang sama, ini bukan kerja syaitan lagi.

Kami kemudian memulakan pengembaraan kami.

***

Masa ride Aku terfikir.  Adakah apa yang Aku buat itu keterlaluan? Adakah memasukkan 20 sen dalam teh o panas yang dah sikit itu kurang ajar? Aku tanya dalam diri. Adakah patut atau tak patut apa yang Aku buat itu?

Memang Aku rasa ada yang tak lepas. Marah, bengang, rasa macam budak kecik pun ada. Lama Aku fikir. Aku rasa, ini tak boleh jadi. Kalau Aku tak let go, ada yang ride motor masuk dalam parit.

Akhirnya Aku ambil keputusan untuk rasionalkan semua hal. Aku katakan pada hati, kalau Aku tak niat nak rendam 20 sen tadi, pakcik negatif ini takkan sedar. Bila dia tak sedar diri, makin lama dengan perangai babi yang dia ada ini lama kelamaan tutup pintu rezeki dia. Paling mudah Aku sendiri kalau datang sini lagi jangan harap Aku nak beli air dari kedai dia.

Aku harap, dengan kurang ajar Aku itu, pakcik negatif ini sedar bahawa menjaga hati pelanggan adalah yang paling utama dalam perniagaan. Semoga, dengan kurang ajar Aku itu, dia tidak lagi layan customer yang datang macam sampah.

Bila Aku katakan sebegini dalam hati, baru Aku rasa lepas. Baru Aku rasa ride Aku tenang. Beberapa moment selepas itu, baru Aku tersedar. Pakcik negatif ini pun pelakon juga. Walaupun gaya nampak macam Aku yang menguji dia tapi sebenarnya dia pun menguji Aku juga.

Aku menguji kesabaran dia sebagai peniaga. Dia menguji Aku sama ada Aku, sedar atau tidak bahawa sesiapa yang Aku jumpa pun adalah yang disebalik itu juga. Pelakon handalan tanpa nama. Sepatutnya Aku tak boleh marah. Aku kena terima ini dengan tenang dan muka mesti mau ada senyum. Yelah, pelakon handalan sudah kantoi.

***

Bagi yang telah tahu dan telah mengenali, ujiannya lebih tinggi. Ini kerana dalam pengembaraan yang dilalui, seringkali seseorang yang kenal itu “lupa” akan siapa yang dia temui sepanjang jalan. “Pelakon”, bukan setakat ada dimana-mana, tetapi adalah yang semua dilihat oleh mata. “Pelakon” ini pula, “menguji” seseorang sama ada boleh bertahan atau tidak, dalam kefahaman mengenal itu. Jika seseorang sentiasa sedar siapa pelakon itu, baguslah. Namun, bila terlupa seketika, itu yang “lega”.

Biasanya seseorang yang mengenal, terlupa apabila “pelakon” yang ditemuinya itu mengujinya dengan kemarahan. Acapkali berlaku sesuatu yang menimbulkan marah, seseorang yang sepatutnya memandang “disebalik”, lupa, lalu bertanding marah. Kata Abdul Wahub : Jangan marah, nanti kena jual. Dalam filem 3 Abdul itu, seseorang yang kena jual menjadi hamba.

Apabila menjadi hamba, sudah ada dua. Dan apabila ada dua, dimana tauhidnya?

***

Info Ride

Ride kali ini suasana dia sangat cantik sekali. Pemandangan ada padi hijau, padi dalam paya, ada kelapa sawit, ada pokok kelapa ala tepi pantai. Jalan pulak lurus panjang. Sekali sekala Staze yang didepan bagi isyarat tangan tanda bahaya, dan Aku akan berdiri kerana jalan bumpy.

Paling hujung kami sampai adalah rumah Staze. Dia nak hantar racun kebun untuk mak dia. Lepas lepak dan baring atas hammock, kami patah balik dan makan landak di Restoran Lembah Bernam. Sedap. Lepas makan singgah beli jagung bawa balik. Kemudian lepas berhenti di Petronas dalam Highway Latar, kami kemudian berpecah balik rumah (dorm) masing-masing. Jam 4:30 Aku sampai rumah.

Distance hari ini 322 km pergi balik ikut Muluk. Oh ya, oleh kerana hari ini adalah ride ke 7, Aku secara rasmi menamakan motor aku : MULUK.

Google Map

  • Kinrara residence – Elmina North Bound Rest Area, Lebuhraya Guthrie Corridor
  • Elmina North Bound Rest Area, Lebuhraya Guthrie Corridor – Jalan Haji Shafie Kampung Staze
  • Jalan Haji Shafie Kampung Staze – Restoran Lembah Bernam
  • Restoran Lembah Bernam – Kinrara Residence

 

View this post on Instagram

 

1. Oleh kerana sudah ride 7 kali (seumur hidup), ada baiknya makhluk ini diberi nama. AHMAD, aku namakan kau MULUK. 2. Master, dan Muluk. 3. Mad Kacang kabo ride bujang lapok. Kuang ajo. 4. Kampung Staze ada hammock, tapi baru nak tido imam azan zohor. Masjid sebelah rumah, patutlah Staze kabo kalau balik kampung smayang subuh kat masjid. 5. Landak masak lemak cili api Restoran Lembah Bernam. 6. Bila berdepan dgn Staze, gadis desa kesipuan maluuuuu. Power aura org masjid ni. Tertunduk gadis desa sambil mengepit jagung. 7. Catatan penulis bertajuk, Maha Menguji. #siribunyamindanrodakehidupan #triumphscrambler #restoranlembahbernam #depansikitadajualjagung #harapkanpagarpagarmakanpadi

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Minum air Pt 2

Bila Aku cerita pada isteri Aku pasal semalam, dia terketawa.  Lalu, dia menambah,

“Betul la tu. Syed ( John Zulazri )mungkin berat dia 70 – 80 kg, silap-silap dia kena minum 3 botol air, bukan dua.”
“Kenapa pulak sampai 3?”
“Yelah, sifir minum air ini ikut berat kita. Kalau tak silap, setiap 25 kg berat badan mesti minum 1 liter air. So kalau anda berat 50 kg, anda kena minum 2 botol sehari”
“Dem…. kita tak tahu. Kita ingatkan asal minum satu botol 1 liter sehari dah cukup.”
“Yelah dah anda tak suka minum air. Memang la anda tak tahu”

***

Ada satu konsep ini dipanggil “Illusi pengetahuan”. Kebanyakkan daripada kita menganggap kita tahu lebih banyak daripada apa yang kita tahu sebenarnya. Kita assume kita tahu tentang sesuatu perkara, namun sebenarnya kita tak tahu sangat pun. Gap antara “kita rasa kita tahu” dengan pengetahuan sebenar ini, dipanggil IoED atau, “Illusion of explanatory depth“.

Ini berlaku kerana kita beranggapan yang otak kita seperti komputer, dimana, dicipta untuk menyimpan data dan pengetahuan. Kerana kita pernah tahu tentang satu perkara, kita rasa, kita tahu semuanya. Hakikatnya, otak bukan untuk “data storage” tetapi adalah untuk membuat keputusan, berdasarkan data / pengetahuan yang kita ada ( yang tidak semestinya diingat, mungkin ditulis ). Sebab itu ada sahaja orang yang mencipta apps To Do List. Tak habis-habis. Sebab itu juga Tun Mahathir, mempunyai buku kecil untuk menulis.

“Illusi pengetahuan” adalah sangat bahaya. Malah ia lebih bahaya daripada kebodohan. Kebodohan, paling tidak, memang sudah bodoh. Manakala “Illusi pengetahuan”, ingatkan pandai, rupanya bodoh.

***

Hari ini, spektrum “Illusi pengetahuan” semakin mudarat dan sangat celaka. Ini kerana dengan kehadiran dajal abad ke 21 yang bernama “social media“. Dalam setiap ketika, data, informasi dan knowledge bertukar tangan hanya dengan sekelip mata. Agen dajal alaf baru ini seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter melambakkan knowledge dari merata tempat dengan kadar yang merimaskan. Sudahlah begitu, kesahihan knowledge ini belum pun pasti benar kerana ada yang direka untuk tujuan manipulasi dan sebagainya.

Seseorang yang menggunakan screen time pada tahap yang paling maksima dalam masa satu hari, adalah seseorang yang sangat bahaya dan mudah terdedah dengan penyakit “Illusi pengetahuan”. Ini kerana, setiap yang dia terima pada telefon itu, dia tidak terjun dan menyelam dengan dalam untuk memahami kebenaran pengetahuan tersebut. Ini adalah benar kerana, belum sempat dia makamkan pengetahuan itu dengan deep, pengetahuan baru sudah sampai. Malah, masa emasnya dibuang begitu sahaja dengan meng-fwd pengetahuan – pengetahuan ini kepada puak – puaknya yang lain. Bukan digunakan untuk mencari kebenaran yang pasti, sebaliknya digunakan untuk menyebarkan kebenaran yang belum pasti.

Susah untuk mencari orang yang meminjam firman “Penciptaan” dari tuhan hari ini, dimana masa dan tenaganya digunakan untuk “mencipta” seperti menulis, melukis dan sebagainya. Kebanyakkan orang hari ini adalah sekadar konsumer kepada pengetahuan, iaitu pemakan-pemakan yang makan kedai, bukan makan masak sendiri. Instead of creating the content, people used to copy paste and send, the content.

***

Generasi kita semakin sakit. Daripada 30 orang calon pekerja yang Aku interview, semuanya tak deep dan Aku rasa masa zaman mereka belajar di universiti dulu, mereka telah terkena penyakit “Illusi pengetahuan”. Belajar memang habis 4 – 5 tahun tapi bila Aku tanya satu soalan basic, haram tak tahu.

Jika ada yang bertanya, maka, bagaimanakah untuk tidak terjerat oleh penyakit criticall illness yang baru ini ( sekarang ada 36 critical illness so tahun ini dah jadi 37 ), Aku rasa ini langkah asas pertama yang boleh dibuat.

Berhenti main facebook. Jika tengok berita di twitter, spend cuma 15 minit sahaja dan lagi 15 minit untuk scroll whatsApp pada . Takut ada hal penting yang orang nak bagitau kita di whatsApp dan kita tak available? Aku dah lama buat begini. Tak pernah respond apa pun dalam group, lalu orang fikir Aku tak pernah online. Jika mereka mahu bercakap yang penting dengan Aku, mereka akan call. Begitu juga Aku. Jika ada yang penting, Aku akan call. Lagipun Aku memang rindukan suara mereka. Eh, bukankah Alexander Graham Bell cipta telefon untuk bercakap?

Anggaplah “social media” perkara yang menyesatkan. Kemudian, masa yang ada, gunakan untuk membaca atau mendengar audio book. Satu posting pendek di social media tidak sama nilainya dengan sebuah buku. Apakah kenyang makan nasi lemak yang isteri masak siap sambal sotong telur goreng timun bagai sama dengan makan maggi yang dimasak 2 minit?

***
Untuk membaca tentang “Illusion of explanatory depth“, boleh cari buku ini

 

 

 

Minum air

Menjelang 40 tahun kita mesti fikir macam-macam lebih serius. Antaranya adalah kesihatan. Setelah Aku bertemu dengan Teacher Irene, seorang yang matanya tembus badan, Teacher Irene berkata begini kepada Aku.

I see you seldom drink water aaaa… true kan?”
Yes… correct (dem canne dia tau?)”
You must drink a lot. Or else you got kidney problem in future

Maka Aku ber-ijtihad untuk mula minum air satu hari satu botol.  Oleh kerana dulu pernah beli botol air, maka Aku guna botol air ini. Rasa macam darjah satu. Hari-hari pergi ofis bawa botol air.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

***

Di ofis, John Zulazri partner Aku memang dah lama pergi ofis bawak botol air. Aku rasa dia bawak botol air sejak dia kahwin dengan cina.  Dulu Aku ada ejek dia apa barang bawak botol air pergi ofis. Ingat sekolah rendah ke. Hari ini bila Aku bawa botol air, dia pula ejek Aku.

Setelah seminggu Aku bawa botol air, hari ini John Zulazri tanya Aku satu soalan.

“Habis ke minum air satu botol tiap-tiap hari?”
“Setakat ni tak habis lagi. Tapi bila balik rumah air dalam botol sikit”

John tersenyum bangga. John kemudiannya memandang botol air diatas mejanya sambil berkata,

“Ini dah refill kali kedua”

***

Di dalam dunia ini sentiasa akan ada orang one step ahead. Maksudnya, kita ingat dia dah level ni, tapi sebenarnya dia dah another level. Kita ingat dia minum air satu botol tiap-tiap hari. Tapi sebenarnya dia minum 2 botol tiap-tiap hari.

Tun Mahathir adalah salah seorang yang one step ahead. Melalui kajian Aku dan John Zulazri, antara sebab Tun Mahathir menang GE baru-baru ini adalah kerana beliau sentiasa one step ahead. 

Aku fikir, apakah yang lebih baik daripada one step ahead? Jawab hati,

2 step ahead“.

Dalam cerita minum air setiap hari, one step ahead adalah refill air dalam botol manakala 2 step ahead bukan refill botol air sampai 3 kali. Kata Aku kepada John Zulazri,

“Sebenarnya Aku dah 2 step ahead dari kau dalam hal minum air dari botol ni (perangai budak-budak memang selalu nak menang)”
“Apsal pulak?”
“Sebab botol air Aku besi kalau jatuh takkan pecah, botol air kau plastik. Jatuh pecah, ko kena beli baru. Kalau ada zombie apocalypse Aku boleh ketuk kepala zombie tu sampai dia pengsan. Kau takleh. ”

John tidak senyum langsung tetapi tangannya mengambil botol, dan dia minum 3 teguk.

Daripada Run kepada Ride

Baru – baru ini Aku update description profile instagram Aku. Daripada “penulis + runner = perruner”, Aku ubah “run + ride = write”.  Perasan hati Aku yang description baru ini lebih berpantun rythmnya.  Macam sedap sikit. Lagipun, Aku rasa sebab sejak kebelakangan ini, Aku lebih banyak main motor daripada keluar berlari.  Maka hasilnya lebih banyak gambar IG motor daripada IG berlari. Dan lagi satu sebab Aku dah lama fikir, perruner ini bunyinya macam perana (orang yang merana).

Manakala semalam pula, adik ipar Aku dan isterinya datang rumah turun dari Kedah. Banyak yang kami bualkan dan salah satu daripadanya adalah persoalan misteri – “Macam mana bang chaq (Aku) sebelum ni tak pernah reti pun bawak motor, aleh-aleh tiba-tiba boleh terus lompat main motor besar?”

Jujurnya, Aku sendiri tidak boleh nak jawab persoalan ini. Memang betul, Aku bukan setakat tidak ada lesen motor, malah, tak pernah reti pun bawak motor sebelum ini. Kalau masa di universiti dulu semua geng kacak ada motor dan bonceng awek ke hulu ke hilir, Aku dan semua housemate Aku cuma mampu mempunyai basikal yang awek pun haram tak toleh. Manakala apabila sejurus bekerja selepas grad, disebabkan gaji Aku agak lumayan, Aku terus membeli sebuah Wira Aeroback baru daripada membeli sebiji motor dengan harapan dapat memancing awek kerana mempunyai kereta dapat memberi gambaran lelaki kestabilan abadi.

Seingat Aku, ada sekali je Aku bawak motor kapchai C70 pada tahun 2014 itu pun macam orang baru belajar naik basikal menggigil takut nak jatuh. Adik-adik Aku punya kurang ajar siap gelak dan depa amik video time Aku ride tu. Sakit perut semua orang ketawa termasuk Aku. Kesimpulannya, Aku dengan motor, adalah zero level loser. Keluarga kami adalah keluarga yang bebas motor. Motor adalah satu benda yang tak akan abah Aku beli dan ada di rumah untuk anak-anak dia pakai. Dari kecik kami memang dibesarkan dengan paradigma motor adalah bahaya. Pergi mana-mana naik kereta. Hatta ke kedai depan beli suratkhabar.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Dua tahun selepas itu, Aku ke Bali Indonesia untuk menyelesaikan panggilan Full Marathon Aku yang pertama. Sambil menanti race,  Udey, kapten larian Kelab Conquer itu telah membawa Aku ke sebuah kedai iaitu The Temple of Enthusiasm atau Kuil Kemahuan Teramat – Deus Bali. Ada banyak motor custom dijual disini rupanya selain cafe minum dan garaj bikin motor. Tidak Aku ketahui, minat pada motor Aku rupanya mula terpupuk tersembunyi di sini.  Ada satu gambar dimana Aku duduk diatas sebiji Scrambler dan pada ketika Aku menyentuh handle bar itu, ada satu “keperluan baru” berputik dari dalam diriku, tanpa Aku sedari.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Jikalah Aku mempunyai makrifat yang tajam, pasti Aku boleh melihat segalanya tersambung. Tag line Marathon Bali tahun itu : “Run – Find Yourself“. Rupanya acara pertama Full Marathon Aku, menemukan Aku yang lebih dalam di Temple of Enthusiasm. 

Kalau orang tanya Aku kenapa tiba-tiba ada minat ride motor, Aku rasa semuanya berpunca apabila Aku balik kampung masa raya beberapa tahun lepas. Semasa kami ramai-ramai belek gambar-gambar lama, Aku ada perasan sekeping gambar arwah Paklong Aku tengah posing atas motor arwah Aki Aku. Maka, terkeluar cerita lama rupanya arwah Aki Aku dulu ini ada motor besar. Masa tu arwah Aki duduk di Pekan. Hanya ada 2 orang yang ada motor besar di Pekan waktu itu. Sultan Pahang, dan arwah Aki. Motor arwah Aki adalah Honda CB175. Zaman itu 175 cc adalah cc paling besar. No plate motor, CB2173. Dikatakan Abah Aku yang tak reti bawak motor pun pernah ride sekali naik motor arwah Aki ini (pak mertua dia).


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

Namun apabila arwah Aki pindah daripada Pekan ke Kuala Lipis, arwah Aki jual motor ini lepas 3 kali jatuh motor. Kali terakhir jatuh adalah waktu hujan bila kain baju hujan ter-slip masuk dalam rim motor.  Kami ada berbincang untuk mencari di mana motor ini sekarang melalui carian plate number dan kalau ada rezeki, cuba nak beli semula. Kalau tak dapat motor yang asal, dapat yang Honda CB175 pun jadilah.

Tetapi perancangan mencari motor itu tidaklah serius mana berbanding perancangan Aku untuk mempunyai sebiji motor. Aku rasakan bahawa pada ketika saat ini, daripada 25 orang cucu arwah Aki, seorang pun tidak ada yang sambung minat arwah Aki ini. Ini juga termasuk 12 orang anaknya (pak sedara dan mak sedara dan mak Aku). Aku fikir, jika roh arwah Aki balik waktu raya puasa nanti, at least tahun ini dia akan tersenyum lebih sikit bila tengok salah seorang keturunannya ada minat yang sama dengan dia.

Itu cumalah asbab dalam bercerita, atau catalyst punca yang trigger kepada sesuatu. Jika Aku renung dalam-dalam kenapa Aku tiba-tiba nak ride, Aku rasa, Aku sebenarnya nak challenge dalaman Aku. Aku dulu selalu berfikir bahawa ride motor adalah satu aktiviti yang bahaya dan boleh mendatangkan kecederaan. Ini kerana apabila seseorang ride motor, ruang untuk kemalangan itu lebih tinggi bagi penunggang. Berbanding dengan jentera lain seperti bas dan lori atau kereta yang laju-laju, apalah sebiji motor di atas jalan? Sebenarnya yang Aku cuba takluk adalah FEAR yang selama ini menghantui hati Aku bahawa menunggang motor, sangat bahaya.

Ketakutan untuk terus bergerak kehadapan dengan hanya berlandaskan imbangan pada dua roda, ini adalah cabaran yang Aku berikan pada diri Aku untuk Aku sahut sendiri.

Too many of us are not living our dreams because we are living our fears kata Les Brown. Manakala kata Steve Mcqueen yang lebih lelaki, When I believe in something, I fight like hell for it“. Aku percaya Aku boleh mengatasi FEAR yang ada dalam diri ini. Dan Aku percaya, dengan segala usaha dan asa, Aku akan mengembara jauh satu hari nanti dengan hanya menunggang motor. Hanya masa yang mencemburui dan mengekang impian ini.

clanek-428-1424412723
Steve Mcqueen

Maka, bermulalah kajian mendalam Aku tentang motor. Aku bahagikan kesemua kisah ini kepada 4 fasa. Fasa pertama, adalah  fasa asas. Fasa Aku pergi kelas ambil lesen dan mula belajar asas menunggang. Fasa kedua adalah fasa mencari motor yang paling sesuai. Fasa dimana Aku mesti mempunyai (beli) sebiji motor. Fasa ketiga adalah fasa Ride, dimana sebenarnya fasa yang Aku betul-betul belajar ride motor sendiri termasuk mengenal mendalam jentera bernama motor. Fasa akhir pula adalah fasa pengembaraan Aku dan motor secara lebih deep, yang  Aku rasa lambat lagi nak sampai mungkin makan bertahun.

***

Aku sudah berlari lebih daripada 5 tahun. Dan dalam 5 tahun itu Aku telah berlari daripada mula 1km di playground Kinrara kepada 42km di Tokyo Marathon. Banyak yang Aku belajar dan tulis dalam episod lariansebuahkitab Aku. Aku rasakan tiba masanya untuk Aku belajar jauh lagi maka Aku rasakan bahawa ini adalah chapter seterusnya dalam hidup Aku.

Lari mengajar Aku erti kemahuan mendalam terikhlas, manakala menunggang, mungkin mengajar Aku lebih dalam lagi. Tetapi jika kawan-kawan rapat yang bertanya dengan terperanjat, “Eh… zizi dah ride motor?”, maka akan Aku katakan jawapan pendek sebegini. “Mid life crisis“.

Sukar untuk menjelaskan kepada orang, bahawa kadangkala, dalam pengembaraan jalan lurus kita menjadi lebih memerhati dan berhati-hati bila menunggang, berbanding memandu. Akibatnya jumlah pengalaman dan perasaan yang kita kutip dari setiap kilometer yang kita lalui itu lebih banyak dan dalam, mengakibatkan hati dan firasat kita menjadi lebih tajam. Kata orang “Life begins at 40“.  Untuk Aku yang menjelang 40, ride adalah salah satu pelajaran dan pengalaman untuk menajamkan lagi perasaan Aku kepada yang Satu.


View this post on Instagram

A post shared by khairulazizi (@khairulazizi) on

P/S Bini Aku kata sebelum dia mati dia nak merasa naik motor dengan laki dia. Tunggu Abiang mahir bawak diri sendiri dulu sebelum Abiang bawak Anda.