khairulazizi.com journey from existence to nothingness

Posted
7 September 2009 @ 10pm

Tagged
all post, the one and only the source, wahyu of the day

Quran yang mana satu

Amaran : Diatas bukan gambar prophet Muhammad dan Jibrail yang saya kenal. Ini gambar impression, lukisan seorang artis @ professor dari Rusia.

17 Tahun yang lepas….

Pertama kali saya menyedari syariat berquran, adalah ketika saya darjah 6. Semasa itu, ayah saya sambung belajar di Indonesia dan kami sekeluarga balik ke Kuala Lipis untuk meneruskan kehidupan. Itulah kali pertama saya berpengalaman bersekolah di kampung dimana hanya terdapat 15 orang murid darjah 6 dan jumlah murid sebuah sekolah itu hanya 118 orang kalau saya tidak silap.

Kesedaran syariat berquran waktu itu bukanlah maksudnya pertama kali saya baca quran. Seperti kanak-kanak melayu lain, saya sudah mula baca quran seawal 9 tahun selepas tamat muqadam. Namun kesedaran wajibnya saya baca quran, timbul lewat beberapa tahun selepas itu. Ini kerana aktiviti mengaji adalah aktiviti yang harus dilalui setiap kanak-kanak dan terus terang saya katakan, saya pun tidak tahu kenapa saya harus mengaji melainkan kerana mungkin tuhan akan marah kalau kita tidak mengaji. Itupun berdasarkan pemahaman saya apabila melihat aktiviti sembahyang yang diwajibkan keatas kami adik beradik oleh mak dan abah. Mengapa? Nanti tuhan marah kalau kita tidak buat.

Saya masih ingat lagi pada bulan puasa itu, hari isnin dan kami sedang dalam perhimpunan sekolah. Oleh kerana sekolah kampung, dan anak muridnya sedikit sahaja, bagaikan kita boleh melihat setiap murid dalam sekali pandangan mata. Ini termasuk cikgu-cikgu dan gurubesar dan guru-guru lain.

Kesedaran syariat berquran saya rupanya timbul pada pagi itu. Dalam perhimpunan pagi, ketika ustazah sedang memberi tazkirah, saya ditanya apakah yang dikatakan nuzul quran? Kebetulan, semalam, pada hari ahad itu adalah nuzul quran. Apakah hari nuzul quran? Azizi, boleh tolong beritahu apakah nuzul quran?

Saya, dan 2 orang adik beradik berpindah dari Johor Bahru ke Kuala Lipis. Jika dibuat persamaan, yang paling adil pun adalah daripada bandaraya moden kepada bandaraya purba dahulu kala. Ini kerana, Kuala Lipis merupakan sebuah bandaraya pada zaman dahulu. Semua ini masih lagi teori dan saya dan seorang kawan juga berketurunan dari Kuala Lipis,  masih lagi mengkajinya. Dari segi bandar diraja, Kuala Lipis dahulu sebelum Pekan. Dari segi negeri, mengapa Pahang paling besar daripada negeri lain di Semenanjung? Dan jika ada sebab Pahang paling besar, ada sebab untuk Kuala Lipis menjadi bandaraya zaman purba. Saya berpendapat Melaka pada zaman dahulu bukan sebesar Melaka hari ini dan jika Melaka sebesar Semenanjung Malaysia, dimanakah ibu negerinya? Namun ia masih lagi teori dan insyallah akan dibentangkan di masa hadapan.

Oleh kerana kami daripada Johor Bahru, sedikit sebanyak ada mempengaruhi pola dan statistik pencapaian sekolah di Kuala Lipis itu. Ini jelas apabila habis perperiksaan akhir tahun, scorer tertinggi bagi setiap subjek adalah adik saya, dan adik saya, dan balik balik balik adik adik saya. Oleh kerana semua hadiah adalah pensil warna maka arwah atuk saya terpaksa berkompromi dengan cikgu sekolah dan memberikan pensil warna – pensil warna tadi kepada pelajar lain yang lebih memerlukannya.

Maka pilihan ustazah untuk bertanya pada saya apakah nuzul quran sangat tepat sekali. Perasaan pagi itu, jika hendak disamakan dengan 10 perasaan saya sepanjang hidup di muka bumi adalah sama sekali waktu saya akad nikah 5 tahun lepas. Apabila semua mata tertertumpu kepada kita, apakah yang paling seronok jika anda bukan penyanyi malah bukan perdana menteri?

Saya kira atuk-atuk saya bukanlah seorang ulama. Ibu bapa saya bukanlah ustadz dan ustazah. Dan saya hanya bersekolah agama di Johor hingga darjah 3. Agama dan saya bukan satu sinonim yang baik. Namun, tiada siapa yang boleh membantah kalam Allah. Atau, yang biasa kita dengar, “Kalamullah”.

Al quran adalah kitab Allah dan kitab Allah itu adalah Kalamullah. Jika para sahabat bertanya kepada prophet Muhammad apakah Al Quran, apakah yang anda rasa prophet akan tunjuk?

Ini kerana, Al quran dibukukan, atau dikertaskan, atau, dijilid hingga menjadi sebuah buku yang lengkap ketika zaman Khalifah Usman. Maka, pada waktu prophet ada, Al quran yang kita lihat seperti hari ini, tidak ada.

Maka, apakah yang dikatakan Al quran pada hari itu? Al quran adalah prophet Muhammad itu sendiri. Dalil ini tidak dapat disangkal kerana wahyu turun daripada Allah, melalui Jibrail, kepada Muhammad dan prophet menyampaikannya kepada kita. Memang benar ada tukang salin, namanya Zaid. Namun Zaid tidak menyalinnya dalam bentuk buku. Ia masih lagi kepingan-kepingan kertas/ kain ataupun kulit kayu. Untuk kepastian anda harus semak bila kertas diciptakan. Maka apakah Al quran pada waktu itu ataupun adakah terma Al quran sudah wujud?

Kerana itu, ada yang mengatakan Al quran itu Kalamullah. Apakah Kalammulah? Bahasa melayunya, kata-kata Allah. 17 tahun yang lepas, ketika saya darjah 6, apabila ustazah sengaja bertanya kepada saya, apakah nuzul quran, saya jawab tanpa sedar dan tahu: Hari Quran turun.

Dan selepas perhimpunan itu, saya berfikir hingga ke petang dan melihat dalam bayangan, senaskah Al quran turun kepada nabi di sebuah gua. Ini bayangan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun. Jika ditanya kepada saya yang berumur 12 tahun itu bagaimanakah rupa senaskah quran itu, pasti saya akan jawab : ia seperti yang zizi baca setiap malam, kulitnya berwarna hijau dan kertasnya bewarna kuning suam dan tepinya disalut emas.

Maka benarlah seperti yang awal awal saya tulis tadi. Pertama kali menyedari syariat berquran adalah pada pagi itu, sehari selepas 17 ramadhan 1412. Baru saya faham, siapa yang mula-mula mendapat ayat alquran menurut cerita ustazah saya. Dan baru saya faham sikit mengapa kita harus baca quran. Lagi, baru saya faham yang quran itu turun kepada nabi, bukan kepada atuk saya. Dan yang paling penting sekali, baru saya faham, kenapa saya perlu baca quran. Kenapa? Kerana Nabi mendapat quran, dan kita pengikut nabi. Ia tidak ada kena mengena dengan kemarahan tuhan. Sebenarnya apabila kita tidak baca quran, yang marah adalah mak atau bapa kita.

Apapun, itu adalah kesedaran bagi seorang budak berumur 12 tahun dan ia telah berlaku hampir 17 tahun yang lepas. Hari ini sepatutnya saya mempunyai kesedaran yang lebih tinggi lagi walaupun terus terang saya katakan saya bukanlah pembaca quran yang baik dan konsistan. Sebagai permulaan, mengetahui dan memahami bagaimana prophet Muhammad mendapat Al Quran dari Allah pun sudah memadai. Ayat pertama yang turun adalah Iqra. Iqra bermaksud “Baca”.

Maka, bagi saya, seorang melayu yang bukan fasih berbahasa arab malah mendapat D dalam perperiksaan arab tingkatan 3 dari sebuah sekolah sains, saya kira, pada umur diambang 30 tahun ini cukuplah saya baca terjemah quran sahaja.

Ini kerana saya bukan seorang qari yang mahu berlatih nyanyian dan tajwid mahupun menyimpan cita-cita menjadi pelajar AQ. Untuk apa saya berusaha mengherotkan muka saya membaca quran dalam bahasa arab seperti qari melayu yang lebih fasih berbahsa arab dari bangsa arab itu sendiri. Saya juga bukan hafiz yang berbuih mulut menghafaz quran setiap hari. Saya cuma orang biasa yang menjalani hidup sama seperti orang lain yang memerlukan petunjuk dan hidayah dari illahi.

Dan untuk memahami petunjuk illahi yang telah dibukukan dan dijilid 30 juz dari 6666 ayat, saya membacanya dalam bahasa melayu dan membandingkannya dalam bahasa inggeris.

Selamat bersyariat quran, dan moga – kita memahami hakikat quran yang sebenar.

Bacaan Lanjut

Semakan Quran Online
http://www.alquran-melayu.com/
http://www.alquran-english.com/

iPhone:
http://www.zoosware.com/mhqiphone3goverview.html

Lain-lain
http://www.islam101.com/quran/yusufAli/index.htm

Yang saya pakai untuk rujukan kerana internet kadangkala boleh diragui:
http://www.ibtbooks.com/product.php?cat=Q&pid=9789675062216

Mount Hira – Google Map
http://www.google.com/maps?source=s_q&hl=en&geocode=&q=mount+hira&vps=3&jsv=174d&sll=34.330871,-86.50329&sspn=0.077683,0.181789&g=arab&ie=UTF8&hq=mount+hira+loc:&radius=15000.000000&split=1

Mount Hira – Google Pic
http://images.google.com.my/images?q=mount%20hira&oe=utf-8&rls=org.mozilla:en-US:official&client=firefox-a&um=1&ie=UTF-8&sa=N&hl=en&tab=wi

Sekolah Kebangsaan Budu, Benta
http://s671.photobucket.com/albums/vv77/rakansms/

Bookmark and Share

Popularity: 6% [?]


2 Comments

Posted by
rudy
10 September 2009 @ 4pm

baca dulu arabnya dan kemudian disusuli dengan terjemahannya. lebih afdal. :)


Posted by
khairulazizi
16 September 2009 @ 9pm

terima kasih. :)


Leave a Comment