mati, kiamat, hidup
Mati, kiamat, hidup pt 1
Saya, hari ini, berada di satu negeri yang saya pernah hirup damai udaranya. Negeri ini menghidupkan saya dan saya pernah hidup di negeri ini.
Saya berjumpa (secara 4 mata jasad 4 telinga hati -(1)) dengan beberapa orang kawan hari ini, dan 2 dari mereka menghadapi masalah yang “biasa” dilalui oleh seorang lelaki yang bernama suami. Hidup berumahtangga, rumahtangga yang mati sahaja tidak dilanda badai. Jika pasangan itu sentiasa bahagia, ada sesuatu yang bahaya yang tidak terduga. Biar ada masalah, kerana adanya masalah membuatkan kita berfikir, dan kita sedar. Biar hari hujan renyai sedikit supaya kita sempat angkat kain sebelum habis semuanya lencun kalau tiba-tiba ribut taufan. Itupun nasib baik lencun, kalau hilang dilarikan angin kencang?
Tentang kawan saya tadi.
Saya rasa, seorang lelaki – bukan tidak mencintai isterinya. Bukan tidak menyayangi isterinya. Siapa yang tak sayangkan isteri? Tetapi, kadang kala, hatinya hilang berahi terhadap cinta apabila dia khayal dalam ujian yang tidak tertanggung olehnya pada hemat asal.
Seorang lelaki mati jiwanya tanpa cinta. Maka, bagi lelaki yang sudah berkahwin, mati jiwanya jika tidak ada cinta lagi dengan isterinya.
Sebenarnya bagus. Ini kerana, di saat dia menyesal seluruh raga dah jiwanya terhadap apa yang telah dia abaikan, dia akan hidup semula. Untungnya kalau dia sempat “hidup semula ” dan masih dicintai oleh isterinya yang tabah. Malangnya kalau dia terlewat “hidup semula”, dan lebih malang bila isterinya tidak tabah – dia akan menyesal dua kali, pada seluruh raga dan jiwanya.
Untuk seorang lelaki yang “hidup semula” buat kali kedua : hargailah isteri kamu sebagaimana isteri kamu menghargai diri kamu.
Tidak ada wanita yang paling tabah didunia melainkan seorang isteri yang penyabar dan sampai pada makam tertinggi : redha, bila mana dia menerima segala macam “hal” suaminya.
Maka benarlah kata ayat kitab ini :
23 : 15 Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.
23 : 16 Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.
23 : 17 Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh jalan di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan keperluan) makhluk-makhluk Kami.
Jika anda lelaki yang sedang mati jiwanya, mintalah petunjuk dari illahi agar ditamatkan kemarau jiwa itu, dan moga apabila ia tamat, dan jiwa anda hidup kembali, anda berupaya melihat jalan yang lurus, melalui fikiran, yang lebih tinggi, tidak cuai…
***
Mati, kiamat, hidup pt 2
Hampir 7 bulan saya berhenti menulis, seperti anak-anak yang sedang belajar mengeja rasanya bila cuba menulis kembali. Ada sebab saya berhenti 7 bulan lepas.
Ada tulisan saya mengguris hati.
Ada tulisan saya mengelirukan hati.
Ada tulisan saya menyesatkan hati.
Namun, takdir menjadi “penulis” ini pun sebenarnya sudah pun tertulis. Siapa saya untuk menolak takdir?
Tersirat, sebenarnya 7 bulan lepas saya mati. Berahi menulis saya diambil nyawa oleh tuhan. Malah, saya menikmati kiamat dengan penuh emosi. Beberapa hari lepas, saya hidup kembali. Setelah hidup, saya melihat kehidupan ini dengan kadar jelas sedikit dari sebelum mati dahulu. Suasana yang kabur, ada cahaya rupanya.
Terima kasih kepada beberapa orang yang menzahirkan kepada saya secara peribadi tentang mengapa saya harus terus sambung menulis. Terima kasih kerana penzahiran itu.
Saya bersyukur, sepanjang kematian saya, saya mempunyai seorang isteri yang sangat mengasihi dan memahami saya…. Tanpa dia, saya mungkin mati kali kedua dan dihidupkan lagi (malangnya) di neraka. :p (lawak rumahtangga, jangan sensitif…)
Bacaan Lanjut
(1) 4 mata – bersemuka, 4 telinga – terima kasih kepada telefon
(2) Menyingkap misteri makna kematian – “Mati” mempunyai konsep yang sangat luas. Teks diatas bukan perihal mati masuk dalam kubur, FYI.
Popularity: 8% [?]





4 Comments