Antara yoga dan yoda
(dipetik dari group yahoo shahpekan96 oleh penulis ahmadzombie)
Artikel ini ditulis bagi menghargai kebijaksanaan ulama kita yang saya kasihi. Kata orang tu, sebuah tribute….
Antara yoga dan yoda.
1. Siapa yang masuk neraka, dia yang terasa panasnya.
“Ulama wal akhirun kulu minar”. Didalam bahasa melayunya berbunyi begini, “diakhir zaman kelak, yang masuk neraka dulu adalah para ulama”.
Nabi Muhammad tentu mempunyai justifikasi yang tinggi untuk bersabda demikian. Antara kemungkinannya adalah kerana di akhir zaman kelak, ulama tidak berperanan sebagai ulama. Bermaksud, ulama adalah penyesat ummah.
Saya tidak mengatakan yang ulama di Malaysia adalah ulama yang menyesatkan ummah malah saya menentang sesiapa yang mengatakan ini. Ini kerana saya berpendapat, tahun 2008 bukan akhir zaman.
Namun begitu, sekarang sudah akhir tahun. Tahun depan adalah tahun 2009.
2. Yoga
Yoga adalah sejenis senaman pada hari ini. Untuk mengetahui apakah yoga secara hakikat, anda harus bertemu dengan Master yoga untuk jawapan apakah yang dinamakan yoga. Ini kerana hanya master yang mengetahui hakikat manakala student hanya mengetahui syariat.
Untuk mencari Master yoga,
a. adakah kita perlu ke gunung ganang?
b. adakah kita perlu ke yogaland sdn bhd?
c. adakah kita perlu mengembara ke tanah hindu?
Oleh kerana saya tidak mampu membuat semua itu, maka saya tidak tahu apakah yang dinamakan yoga. Saya hanya mengenali Yoda.
3. Yoda
Yoda adalah seorang jedi bertaraf master didalam filem fiksyen Star Wars. Saya tahu Yoda mengamalkan Yoga. Sekiranya anda tidak percaya, anda boleh mengutip filem Star Wars A new hope dimana Luke Skywalker mencari Yoda di planet yang terasing.
Mengapa saya mengatakan Yoda mengamalkan Yoga? Saya bertanya kepada anda yang bijak. Jika Yoda mengasingkan diri dari makhluknya yang lain, apakah yang Yoda mahu?
a. buat bisnes?
b. bosan dengan dunia
c. marah
d. meditasi?
Ya, master Yoda bertafakur bersendirian kerana bertafakur secara berjemaah akan membawa Yoda kepada gejala sosial. Bermaksud, fokus dan tidak ada gangguan menyebabkan Yoda mengasingkan diri dari umatnya. Jika Yoda bertafakur didalam rumahnya di Johor Bahru, ada kemungkinan kawan-kawannya datang melawat dan ini mungkin mengganggu perjalanan tafakurnya.
Yoda bermeditasi kerana ingin meningkatkan ilmu jedinya. Dalam ertikata lain, martabat sesama jedinya hendak ditingkatkan. Untuk itu dia harus pergi bertapa, bermuhasabah diri, malah bertaubat jika perlu kerana hanya hati yang jenih dan tenang boleh mencapai kesempurnaan. Hati yang tenang mengundang ilmu yang benar.
Namun begitu, persoalannya, bolehkah kita menyamakan tafakur, meditasi dan yoga didalam satu kumpulan aktiviti yang sama?
Saya tidak tahu kerana saya tidak ke yogaland sdn bhd. Saya juga tidak pernah menyertai jemaah tafakur malaysia malah saya tidak pernah berjumpa dan menyanyikan lagu kumpulan rock Meditasi yang popular zaman 90 an itu.
Namun yang saya tahu adalah Nabi Muhammad S.A.W sering berulang alik ke Gua Hira sebelum beliau mendapat wahyu yang pertama. Saya tahu ini kerana Ustadz saya beritahu semasa saya bersekolah dulu. Namun, ustadz saya bukan ulama.
Lagi, Nabi mengasingkan diri kerana waktu itu umat arab sangat jahil. Ini bermaksud, mereka boleh berbunuhan di merata tempat. Atau, berzina di pasaraya. Atau, mencuri berhala di masjid. Kerana sangat teruk persekitaran waktu itu, ahli sejarah menamakan period ini zaman jahiliah. Zaman dimana orang jahil menjadi raja. Bukan pemerintah tetapi orang jahil berada dimana – mana sambil melakukan kejahilan berkelompok.
Maka, dimana pula orang yang baik atau orang yang tidak jahil di waktu itu?
a. di rumah ?
b. di luar negara ?
Orang baik mengasingkan dirinya dari masyarakat. Mereka keluar dari komuniti kerana mereka tidak sanggup melihat orang berbunuhan, orang berzinaan, orang bercurian.
Antara mereka ini, salah seorangnya mendapat wahyu. Orang ini adalah Muhammad. Beliau kemudian menjadi nabi dan saya mengikuti syariatnya.
Kesimpulan
Kita sering terlupa pada asal usul. Kerana itu ada pepatah, lupa daratan. Sekiranya Nabi Muhammad mengatakan yang ulama adalah antara golongan yang masuk neraka di akhir zaman, saya rasa orang yang masuk neraka adalah orang yang lupa daratan.
Orang yang lupa daratan adalah orang yang tidak sedar diri. saya bersimpati dengan orang yang tidak sedar diri. Ini kerana orang yang tidak sedar diri tidak berfungsi secara sepatutnya. Contohnya, jika dia seorang ulama, maka dia harus berperanan sebagai ulama, bukan sebaliknya.
Orang yang lupa daratan adalah orang yang lupa tuhannya. Kerana dia lupa yang tuhan telah mengamanahkan dia satu tanggungjawab, maka dia berbuat suka hatinya sahaja.
Kesimpulan 2
Saya sedang menyiasat apa yang Nabi buat didalam gua hira sehingga dia mendapat wahyu. Pada tahun lepas, melalui jejak rasul, temubual dengan hos jejak rasul EN. Zainal, melalui kawannya yang saya lupa namanya mengatakan Nabi Muhammad membuat amalan nabi sebelumnya. Ini adalah pendapat dia. Sekiranya Nabi Isa sebelum Nabi Muhammad, maka boleh jadi Nabi Muhammad melakukan amalan Nabi Isa ketika berada didalah gua hira.
Saya tidak tahu dalam zaman yang tidak ada internet dan kereta, adakah amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad sebelum menjadi nabi, adalah amalan Nabi Isa?
Perlu diingatkan Nabi Isa orang israel. Nabi Muhammad orang arab. Adakah tanah arab dan tanah israel sebelah – menyebelah? Untuk ini saya perlu menyiasat dan bertanya kepada cikgu geografi saya.
Jika Nabi Muhammad melakukan amalan Nabi Isa, maka mengapa perlu agama baru? Mengapa Nabi Muhammad tidak menyambung terus ajaran Nabi Isa dan meng-completekan dia sehingga menjadi satu agama yang lengkap?
Persoalan ini saya akan tanyakan kepada ustadz saya yang bukan ulama itu. Namun kalau anda tanya saya ketika saat ini, saya katakan yang kemungkinan besar tidak ada amalan spesifik yang diamalkan ketika itu. Dan lantaran itulah, tuhan menurunkan wahyu, lantas menjadikan Muhammad sebagai nabi. Maka, agama islam tercipta.
Sekiranya tuhan Allah tidak mahu mencipta agama islam, sudah tentu Nabi Muhammad menjadi kawan karib Nabi Isa seperti Nabi Musa dan Nabi Harun, yang berpasangan dalam berdakwah dibawah satu agama yang sama. Lantaran itu, mereka ( Nabi Muhammad dan Nabi Isa) lahir di zaman, tanah, keturunan yang berbeza.
Persoalan kedua, apakah amalan yang tidak spesifik, terasing dari dunia jahiliah, yang sangat basic, untuk dilakukan oleh seorang yang tidak tahu membaca dan menulis hingga mendapat wahyu?
Yoda belum tentu dapat menjawab ini walaupun bertaraf jedi master. Namun saya pasti ulama malaysia yang bijak, pandai dan hebat ilmunya dapat memberi kita semua pedoman dalam hidup. Ini kerana ulama di malaysia sudah pasti pernah pergi ke Yogaland Sdn Bhd dan sudah menyiasat apa yang berlaku disana hingga mengeluarkan fatwa yang saya sanjungi lagi kasihi.
Hanya kebijaksanaan sebegini sahaja dapat memberi jawapan kepada saya apakah yang nabi lakukan di gua hira hingga mendapat wahyu.
Sekian.
Popularity: 3% [?]






No Comments Yet