Raja Segala Manusia
Adakah saya akan menemui raja segala manusia? Saya rasa tidak mungkin. Ini kerana jika saya menemui raja segala manusia, maka tamatlah segala persoalan yang terbuku di dada saya sebagai manusia. Sekiranya saya menemuinya juga, maka dia bukan raja segala manusia.
Raja segala manusia dikatakan melalui nenek moyang saya, duduk di syurga. Raja ini melihat dan memerhati setiap tingkah laku manusia. Benarlah begitu, sebagai raja. Agaknya. Adakah raja segala manusia ini hobinya skodeng?
Sekiranya syurga adalah tempat pembalasan, mengapa raja segala manusia perlu dibalas?
Dan saya dididik supaya takut kepada raja manusia ini, walaupun saya dan nenek moyang adalah keturunan raja bugis.
Itu kata turun temurun nenek moyang saya. Kata kawan saya pula, raja manusia duduk di sebuah kerusi yang besar. Sekiranya ini benar, raja manusia ini pasti bersaiz besar kerana kerusinya besar. Malah ini menimbulkan lagi persoalan. Jika ada kerusi diraja, sudah pasti ada istana raja. Dan pengikut raja, pengawal raja yang telah “dikasi” anunya, dan dayang-dayang diraja yang cantik, dan gundik diraja yang bertubuh lentik.
Ini menurut kawan saya yang melihat “keraja-an” itu satu lambang kebesaran yang diperbesarkan.
Raja segala manusia bagi awal kesedaran saya tentangnya adalah ketika saya berumur 7 tahun. Masih lagi naive, saya membayangkan raja segala manusia adalah seorang perempuan seperti ibu saya. Mungkin kerana waktu itu ibu saya adalah segala maksud yang tercapai. Segala kehendak saya dipusatkan kepada ibu saya.
Kedewasaan mengajar saya erti neraka dan syurga. Lantas pemahaman saya tentang raja segala manusia semakin kompleks. Saya sedar, raja segala manusia yang saya cari ini bukan seperti raja – raja yang biasa dilihat di televisyen. Ini kerana raja di kaca tv tidak mengujakan saya kerana saya juga seorang raja bugis.
Yang saya cari selama ini adalah Raja segala manusia. Raja segala manusia ini juga raja segala jin. Namun untuk menjumpai raja ini bukan seperti menjumpai barang yang hilang. Menjumpai raja ini adalah seperti menemui cinta hati.
Cinta didalam hati tidak termanifestasi ke alam zahir.
Tak terbayang oleh berjuta mata yang melihat.
Tak terhirup oleh berjuta hidung yang bernafas.
Tak tersentuh oleh berjuta tangan yang memegang.
Tak tersampai oleh berjuta kaki yang berlari.
Dan tak termakan oleh berjuta hati yang merasa.
Kerana, cinta itu sendiri adalah hak milik raja segala manusia. Hanya Dia yang memahamiNya.
Selagi saya seorang manusia, adalah mustahil untuk saya mencapai hasrat hati ini.
Popularity: 1% [?]



No Comments Yet