Mutiara, Pen dan Kunci Kereta
1. Mutiara
Sekembalinya saya dan Azrai Fahmi dari Kota Kinabalu, Sabah (Bah), ada pelbagai pelajaran dan emosi baru yang saya harus hadapi dengan hati yang tenang dan terbuka.
Nyatanya semua adalah kerana tuhan menyimpan “surprise” dalam setiap episod hidup kita.
Pelajaran pertama, adalah berkenaan dengan Mutiara. Terkenal dengan Philipino’s Market, pengemar mutiara mempunyai pelbagai akses untuk memilih dari range moyang mutiara, mak mertua mutiara, anak-anak mutiara malah awek-awek mutiara. Menurut Hasnah, salah seorang pekedai yang mempunyai kebolehan jenaka yang tinggi, ada 3 jenis mutiara yang boleh ditafsir dari rupa bentuknya. 3 bentuk alami itu adalah jagung, beras dan kentang. Malah, sekiranya anda “bertuah”, mutiara yang dibeli boleh jadi memperanakkan mutiara baru.

Atas : Azrai Fahmi sedang membuat penilaian ke atas mutiara2 yang bakal dibeli
Saya sempat bertanya kepada Hasnah, adakah mutiara mempunyai gender jantan dan betina? Jawapan Hasnah, “terlebih sudah…”. Sekiranya anda pernah menempuhi alam persekolahan tentang Amoeba, begitulah caranya bagaimana mutiara beranak.
Untuk itu, terpengaruh dengan cara-jual bersulam jenaka Hasnah, saya membeli beberapa rantai tangan untuk ibu-ibu, bini dan adik perempuan saya sebagai buah tangan.
Apa yang saya pelajari tentang mutiara adalah, mutiara wujud dalam keunikan yang tersendiri. Benar, ada beribu biji mutiara dari beratus kedai yang ada, namun setiap kejadian mutiara itu wujud secara zahir tersendiri. Ada yang mempunyai belang-belang. Ada yang mempunyai lekuk-lekuk. Ada yang licin. Ada yang bewarna.
Namun, Nilai mutiara terletak saiz, warna, bentuk dan daya pantul cahaya. Itu adalah tentang mutiara yang boleh dijual beli. Ada sesuatu yang tidak boleh dijual beli di dunia ini yang berharga lebih dari mutiara.
Makhluk Allah Ta’ala yang lebih berharga dari Mutiara adalah “Peluang”. Peluang tidak boleh dijual beli malah lebih berharga dari mutiara.
Kata orang putih, “Opportunity only knocks once”. Namun ada kata orang putih yang lain, “Opportunity knocks all the time”. Dan pepatah yang bersifat lebih idealistik yang saya kira keluar dari mamat confidence menang, kalah takpa adalah: ” If opportunity doesn’t knock, build a door”.
Pada saya, peluang wujud sekali sekala sahaja didalam dunia ini dan kerana itu saya katakan, nilainya lebih dari mutiara. Peluang juga tidak sama dengan yang lain kerana peluang wujud dalam sifatnya yang unik dan tersendiri.

Atas : Penulis sedang meninjau peluang sambil mencemar udara
Berilah seribu pepatah tentang “peluang”, yang paling duka adalah apabila kita tidak menghargai sebuah peluang.
2. Pen
Hidup saya resah tanpa pen. Bukanlah pen itu setaraf dengan isteri saya kerana isteri tidak boleh dicari di kedai walaupun kita boleh meminta tolong isteri untuk menulis. Resah disini adalah kerana saya takut ketika saya berilham tentang sesuatu, saya tidak sempat untuk menzahirkannya ke alam nyata. Keresahan ini jua adalah kerana saya mungkin meluangkan masa lebih lama bersama pen (pen boleh dibawa kemana-mana hingga ke kelab malam atau berjumpa client tetapi isteri tidak). Lantas untuk ketidak-adilan ini, pen saya telah disembunyikan tuhan. Lebih menyayat hati, pen kali ini adalah antara pen Lamy tercinta yang saya pernah ada kerana isteri saya yang memilihnya beberapa bulan yang lepas.
Mengapa pen ini hilang lagi? Dan hilang dan hilang lagi? Seumur hidup saya, saya telah mempunyai lebih 9 batang pen Lamy yang saya kasihi dalam tempoh 5 tahun. Adakah pen jenama Lamy tidak serasi dengan saya? Atau adakah sepatutnya saya menggunakan pensil daripada menggunakan pen?
Namun didalam pengajaran ketidak-adilan yang diberi tuhan, tuhan itu sudah tentu sentiasa maha adil. Ketika saya kehilangan pen baru ini, saya telah menemui semula pen lama saya didalam salah satu jacket saya (pen (no8) sebelum pen baru ini (no9) yang saya beli kerana kehilangan pen (no8) yang baru dijumpai).

Atas: Arwah pen no 9. Di alam mana pun kau berada semoga kau redha dan bahagia
Untuk itu saya mendapat kefahaman baru, “Patah tumbuh hilang berganti”. Walaupun suatu masa kelak kita bakal hilang sesuatu, tuhan sentiasa meng-”reserve” sesuatu yang lain untuk menggantikan kehilangan ini.
Hanya masa yang menentukan, kerana itu kita sebagai manusia harus menanti. Dan kadang kala, seperti yang selalu saya tulis sebelum ini, tuhan menyimpan “surprise” bagi manusia yang mempercayai dan mahu akan “surprise” itu.
Kerana itu, saya menemui semula pen saya yang lama, menghilangkan diri….
Adakah saya akan menemui semula pen baru itu? Saya mendoakan yang terbaik untuknya dan semoga ia bahagia dimana jua ia berada. Saya harus akur kepada kehendak takdir. Takdir telah ditulis di luh-mahfus sebelum jasad adam dicipta lagi.
Apakah tugas pen? Pen dikayangan menulis takdir manakala pen ditangan menulis rencana… Apakah tugas manusia ? Manusia harus redha dengan takdir, namun, takdir boleh dirancang sekali – sekala.
3. Kunci kereta
Pelajaran yang ketiga, adalah tentang kunci kereta. Baru – baru ini saya kehilangan kunci kereta taatkala hendak pergi kerja. Puas saya mencari di langit dan bumi namun saya hanya menemui kebuntuan. Saya terpaksa bertenang seketika untuk meminta petunjuk dari tuhan, dimanakah kunci kereta ini tersembunyi.
Lantas, tuhan memberi petunjuk dan rupa-rupanya, kunci kereta ini tersembunyi didalam jacket saya baju saya lagi!
Apakah pelajaran yang saya hendak kongsi ini? Adakah semua barang saya yang hilang, sebenarnya disembunyikan oleh jin didalam jacket saya? Atau, adakah saya memerlukan sebuah poket yang sakti agar dapat menyimpan semua barangan saya yang ala-ala poket doraemon?
Tuhan memberi petunjuk dan tanda kepada manusia. Sekiranya manusia didalam kesusahan, tuhan akan memberikan jawapan.
Sebagai contoh, tuhan mungkin memberi gambaran “baju” didalam alam pemikiran saya ketika saya cuba bertenang lantas saya teringatkan baju-baju yang pernah saya pakai. Atau paling tidak, tuhan memberi petunjuk ini kepada isteri saya, lantas isteri saya memberitahu, “cuba tengok dalam poket jacket, mana tahu ada disitu”.
Tuhan tidak turun ke bumi untuk membantu kita didalam kesusahan. Tuhan tidak mengetuk pintu lantas memberi tahu jawapan.
Tuhan mengirim hamba-hambanya datang untuk membantu. Kerana itu, ada hambanya yang menjadi nabi dan ada yang menjadi rasul.
Kunci kereta bagi saya adalah kunci perjalanan. Hilang seketika memberi tanda yang kita mungkin “merubah” destinasi kehidupan kita ataupun paling tidak kita bakal menukar kereta. Dan dalam perjalanan hidup ini sudah pastinya kita akan menempuh dugaan dan rintangan. Namun, tuhan tidak menghantar kita ke dunia untuk hidup keseorangan. Maka kerana itu, Henry Ford mencipta kereta mempunyai 2 kerusi.
Mungkin destinasi yang bakal kita tuju ini menuntut seribu pengorbanan. Kerana itu tuhan khabarkan melalui wahyu, adakah kamu benar-benar ikhlas melaluinya?
Kesimpulan
Melangkah ke satu destinasi baru adalah sebuah peluang yang datang sekali sekala. Untuk kekal didalam ruang yang sama adalah satu penafian pada panggilan hijrah. Namun untuk memilih antara satu memerlukan kebijaksanaan yang mendalam yang hanya sipunya tangan sahaja yang faham.
Apapun pilihan kita, mutiara, pen atau kunci kereta, semuanya sudah tertulis sejak azali lagi.
Apakah antara nikmat-nikmat tuhan yang tertinggi?
Surprise………..?
BACAAN LANJUT
1. Tentang pen lamy :
http://www.lamy.com/eng/b2c/studio/067+black
Popularity: 4% [?]



No Comments Yet